Jumaat, Ogos 17, 2012

Kenapa Bible Bukan Injil?


Oleh: Zulhasanain ZR
Kebanyakan orang menyangka bahawa bible adalah nama lain bagi Kitab Injil. Ramai di khalayak umat Islam menyangka bahawa isi bible adalah kitab Injil yang Allah turunkan kepada Nabi Isa A.S. tetapi ianya di ubah. Apakah benar pandangan ini? Mari kita lihat sejarahnya kerana apabila disebut kitab Allah, ia bermaksud wahyu (kalamullah) yang diturunkan Allah S.W.T kepada seorang rasul. Selain Al-Quran, terdapat kitab-kitab lain yang diimani oleh umat islam iaitu Injil, Taurat dan Zabur. Adakah bible merupakan wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Isa A.S?
Sebenarnya bible adalah himpunan kitab-kitab warisan daripada kitab-kitab yahudi (old testament, Perjanjian Lama) dan kitab-kitab yang ditulis selepas Jesus Christ (new testament, Perjanjian Baru). Ertinya, ia bukan wahyu Allah kepada Nabi Isa seperti Al-Quran yang merupakan wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Apabila disebutkan wahyu, maka sebutannya adalah Allah berfirman, kerana itu adalah firman langsung Allah kepada seorang rasul agar disampaikan kepada umat. Bible adalah tulisan manusia atau riwayat. Kerana itulah kita dapati keraguan terhadap ketuluenan bible terus menjadi isu yang dibangkitkan oleh penganut Kristian sendiri.

Apakah kaitan Gospel dengan bible?Gospel adalah tulisan kitab-kitab warisan yang kononnya telah ditulis oleh pengikut-pengikut Jesus Christ. Gospel merupakan kandungan atau juzuk-juzuk dalam bible. Ia merujuk kepada empat buah kitab awal di dalam bible pada bahagian New Testament yang merakankan kisah hidup dan kematian Jesus Christ; Gospel of Matthew, Mark, Luke dan John yang digelar Canonical bible atau Injil Kanonik. Keempat-empat kitab ini dianggap sahih pada pandangan ilmuan Kristian, walaupun pada awalnya terdapat beberapa kitab Gospel selain daripada itu. Bagaimanapun, tiada satu bahagian pun daripada Gospel tersebut yang masih kekal dan dapat diwarisi. Ironinya, keempat-empat Gospel yang dijadikan rujukan itu asalnya dalam bahasa Greek dan bukannya bahasa Aramaic iaitu bahasa pertuturan Nabi Allah Isa A.S. dan pengikutnya.

Apakah kesan Gospel tersebut terhadap kepercayaan kepada tuhan?Adalah penting untuk diketahui umum bahawa terdapat 10 buah kitab Gospel sebelum abad ke-4 Masihi. Termaktub di dalam sejarah, Raja Konstantin I telah mengumpulkan ahli-ahli agama dalam Majlis Nicaea pada tahun 325 M bertujuan untuk menyelesaikan pertelingkahan sengit terhadap persoalan pokok di dalam kepercayaan di kalangan soal kepercayaan di kalangan ahli-ahli agama Kristian iaitu bersangkutan dengan isu sama ada Jesus (Nabi Isa A.S) itu Tuhan atau tidak.
Terdapat dua golongan ilmuan Kristian pada waktu itu. Satu golongan ilmuan mempercayai Jesus adalah seorang insan (hamba Tuhan) dan satu golongan lagi mempercayai ketuhan Jesus (memiliki unsur ketuhanan/anak Tuhan). Golongan majoriti di kalangan ilmuan ketika itu mengatakan bahawa Jesus adalah hamba Tuhan. Walau bagaimanapun, dalam majlis tersebut golongan majoriti ini telah di paksa supaya tunduk dan mengalah kepada golongan minoriti yang mempertuhankan Jesus.
Golongan ilmuan majoriti terpaksa mengalah kepada minoriti. Sesuatu yang bertentangan dengan disiplin ilmu dan amat tidak masuk akal.
Semua prinsip ilmu terpaksa tunduk kepada kehendak Raja Konstantin I. Beliau merupakan Maharaja Rom yang pertama memeluk agama Kristian. Sebagai Raja Rom, kepercayaa pagan dan mitos yang berasal daripada mitologi Romawi yang percaya kepada pelbagai tuhan dan dewa-dewi masih bertapak dalam dirinya. Ini mempengaruhi keputusan Majlis Nicaea. Peranannya dalam mencari jalan penyelesaian kepada pertelingkahan golongan agamawan membawa kepada satu resolusi Majlis Nicaea (325 M) yang menerima pakai doktrin ketuhanan Jesus dan konsep ‘triniti’; mempercayai bahawa ‘tuhan itu tiga’, iaitu terdiri daripada Tuhan bapa, Tuhan anak dan Ruhul Qudus.
Serentak dengan itu, Majlis Nicaea (325 M) juga telah menafikan kesahihan beberapa kitab Gospel selain daripada Gospel of Matthew, Mark, Luke dan John, di antaranya ialah The Letter of Barnabas, Didache, Thomas dan Mathias (sekadar menyebut beberapa nama). Bible yang lain ini dianggap palsu, menyimpang, tidak asli atau dongeng. Mereka menggolongkannya ke dalam istilah seperti Gnostik atau Apocrypha.
Peristiwa ini berlaku sekitar 300 tahun setelah ‘kematian’ Jesus Christ. Bertitik tolak dari situlah berkembangnya segala kekeliruan dan pertentangan akidah dengan kepercayaan yang telah dipegang oleh majoriti penganutnya sebelum tarikh tersebut.

Sumber: Majalah Q&A, Isu #03, Muka Surat 41

Ahad, Ogos 12, 2012

JOM SEDEKAH DI BULAN RAMADHAN!!!(sumbangan majlis tahlil dan khatam Quran)


                          Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.=)

Di bulan ramadhan ni,apa kata kita amalkan satu sunnah daripada 'berpuloh-puloh' sunah nabi. Amalan apa itu wahai muslim dan muslimat sekalian??? Ha...pastinya amalan tersebut ialah berinfaq atau pon bersedekah...Pihak Masjid Al-qadisiah SEPINTAR sememangnya mengalu-alukan untuk anda semua menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas kepada masjid ini.
    Cara-caranya mudah sahaja, hantarkan sumbangan anda melalui akaun Masjid Al-Qudisiah SBPI RAWANG (Bank Muamalat) 1201-0000878-71-5
   kepada mereka yang mempunyai kenalan ataupun saudara-mara yang belajar si SBPI RAWANG ini bolehlah menghantar nama arwah yang ingin didoakan kepada kenalan yang berada di sana. Sesungguhnya Allah suka orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Moga-moga Allah memberkati segala sumbangan yang dihulurkan.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya

Jumaat, Ogos 10, 2012

Pakar Bedah Ghaib ( Rupa-rupanya, bukan manusia sahaja pandai 'operate', malaikat jauh lebih 'terer'... )


Rupa-rupanya, bukan manusia sahaja pandai 'operate', malaikat jauh lebih 'terer'...


Pakar Bedah Ghaib Menggerunkan Halimah
Kambingpun Ceria
                Warna alam berubah daripada kuning kepada oren. Waktu Asar menjelma. Halimah tiba di kampung halaman. Tanah tandus menyambut kehadiran bayi mulia.
Emmbekkkk…
Bunyi kambing-kambingnya terdengar ceria. Ia baru pulang dari tempat gembalaan. Halimah menjengukkan kepala bagi meninjau binatang-binatang berjasa itu.
“Ya Allah!”
Halimah terkejut melihat kantung susu kambing-kambingnya bengkak. Susu bertitis-titisan minta diperah. Halimah melihat pula kambing-kambing jirannya. Kurus-kering dan tidak bertenaga.
“Keberkatan apakah ini?” Halimah teruja.
Hari seterusnya, jiran-jiran Halimah menggembalakan kambing mereka di tempat kambing-kambing Halimah digembala. Mereka berharap moga-moga keberkatan itu menempias kepada kambing mereka juga.
Kampung Bani Saad Menjadi Subur
Selama 2 tahun bayi kecil bernama Muhammad membesar dalam pelukan Halimah, keluarga itu dilimpahi rezeki yang mencurah-curah. Tanah gersang menjadi subur. Kambing kurus menjadi gemuk. Tanam-tanaman ceria disirami hujan.
Halimah kagum dengan Muhammad. Kebanyakan bayi seusianya tidak mahu makan makanan lain selain susu ibu hinggalah berusia dua tahun. Tapi Muhammad berbeza. Sebelum berusia dua tahun, dia sudah pandai menyesuaikan diri dengan makanan pelengkap. Halimah menceraikan Muhammad daripada susuannya ketika usianya genap dua tahun.
Kasih Halimah kepada Muhammad semakin mengakar teguh hari demi hari. Namun janji tetap janji. Halimah tahu dia perlu menghantar Muhammad ke pangkuan ibunya.
Berwawasan Jauh
Sepanjang perjalanan menuju ke Makkah, Halimah berasa sebak dan sayu. Seakan tidak sanggup untuk berpisah dengan bayi itu. Bukan semata-mata disebabkan oleh naluri kasih bahkan juga kerana risaukan risiko masa depan Muhammad andai ia membesar di Makkah.
Saat berjumpa Aminah, Halimah merayu, “Kami harap anak ini tetap bersama kami. Kami khuatir lingkungan Makkah akan memberi pengaruh buruk kepadanya.”
Sebagai seorang ibu yang sangat cintakan anaknya, Aminah rasa keberatan untuk melepaskan Muhammad sekali lagi. Namun dia lebih memikirkan masa depan Muhammad. Dia kagumi sikap Halimah yang berpandangan jauh.
Aminah terfikir, andai Muhammad membesar di kawasan perkampungan, bahasa Arabnya akan menjadi lebih fasih dan lancar. Bahasa yang ada di Makkah bercampur dengan pelbagai bahasa pengunjung kaabah yang datang dari pelbagai arah. Lagipun, tanpa sokongan vaksin, penyakit senang merebak di Makkah tika itu.
Aminah merelakan putera tercinta kembali semula ke perkampungan Bani Saad. Halimah ternyata sangat gembira.
Malaikat Pakar Bedah
                Putera Halimah  berlari tergopoh-gapah. Badannya seram sejuk dan menggeletar. Wajahnya sangat ketakutan.
“Ibu!!!!!Ayah!!!!” Dari jauh dia menjerit-jerit.
Halimah dan suaminya mendapatkan puteranya itu.
“Ibu, ayah, Muhammad ditangkap dua orang lelaki berpakaian putih. Dia ditidurkan, lalu perutnya dibuka. Kedua orang itu mengeluarkan sesuatu dari perut Muhammad,” adu anak Halimah.
Halimah dan suaminya cemas. Mereka mencari Muhammad di kawasan belakang khemah. Mereka mendapati Muhammad berdiri sendirian dengan wajah pucat. Dia nampak ketakutan. Halimah mendakapnya.
“Apa yang terjadi, nak?” tanya Halimah.
Muhammad bercerita, “Saya didatangi dua orang lelaki berpakaian putih. Saya ditidurkan, lalu mereka membelah perut saya. Mereka mengeluarkan sesuatu dari perut saya.”
Halimah dan suaminya membawa Muhammad masuk ke rumah. Mereka berusaha menenangkan perasaan Muhammad.
Suaminya berbisik, “Abang takut anak ini kerasukan jin. Baik kita hantarkan saja kepada keluarganya sebelum dia menjadi gila.”
Terdengar Petanda Kenabian
                Halimah dan suaminya bergegas ke Makkah. Tika itu usia Muhamamd dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Mereka berterus-terang menyatakan hasrat untuk mengembalikan Muhammad kepada Aminah.
Aminah kehairanan. Dia berkata,
“Bukankah dulu kamu merengek-rengek mahu menjagakan Muhammad?”
Halimah menjawab, “Saya takut terjadi apa-apa kepada Muhammad.”
Aminah curiga dengan kenyataan itu. Dia mendesak Halimah menceritakan apa yang sebenarnya telah berlaku ke atas Muhammad.
“Dia pernah disentuh jin,” cerita Halimah berdasarkan sangkaannya.
“Tidak mungkin! Jin dan syaitan tidak akan mampu menyentuhnya. Anakku ini mempunyai keistimewaan sejak sebelum dilahirkan. Kalian mahu tahu?” bongkar Aminah.
Halimah mengangguk. Aminah lalu bercerita,
“Saat aku mengandungkannya, ada cahaya terang yang keluar dari perutku. Dari cahaya itu, aku mampu melihat istana Bushrah di Wilayah Syam. Aku juga merasa ringan, seakan tidak hamil. Saat dia lahir, saat tangannya menyentuh alas tidur, kepalanya mendongak ke langit.” (Sirah Ibnu Hisyam, riwayat Abu Ya’la dan Thabrani).
Halimah kemudiannya pulang dengan kerinduan yang berat untuk ditanggung.
Halimah di Hati Nabi
                Muhammad kini menginjak dewasa. Membesar dalam keadaan yatim piatu kerana ibunya meninggal ketika dia berusia 6 tahun. Tatkala usianya mencecah 25 tahun, baginda bernikah dengan puteri bangsawan bernama Khadijah, bosnya sendiri.
                Selang beberapa waktu, Halimah datang menemui anak susuannya. Halimah bergembira dengan perkahwinan mereka. Halimah berkongsi kisah duka tentang Kampung Bani Saad yang sedang ditimpa kemarau dan kebulur.
                Khadijah mendengar berita itu. Beliau yang tidak mempunyai ibu mentua untuk berbakti dapatlah memanfaatkan peluang berbakti kepada ibu mentua susuan. Khadijah menghadiahkan 20 ekor kambing dan 20 ekor unta kepada Halimah.
                Halimah terharu. Dulu, dia hampir tidak mahu mengambil Muhammad sebagai anak susuan kerana bimbang tiada upah tinggi yang bakal diterima. Muhammad kan anak yatim. Namun, dia positifkan fikiran. Dengan kuasa Allah, harta berganda-ganda yang diterimanya setelah Muhammad dewasa. Inilah namanya keberkatan. Ia sering datang di luar jangka.
Anak Susuannya Seorang Nabi
                Siapa tidak bangga jika anak yang disusui sejak kecil berjaya menjadi orang besar? Halimah lebih layak berbangga apabila anak yang disusuinya diangkat menjadi seorang Nabi dan Rasul terakhir.
                Selepas terdengar berita kenabian Muhammad, Halimah berangkat meninggalkan kampungnya. Tidak sabar menyatakan keimanannya kepada Muhammad. Terngiang-ngiang memori silam tatkala puteranya menjadi saksi terhadap perkara aneh yang menimpa Muhammad.
                Rasulullah menyambut kedatangan Halimah dengan sambutan hangat. Baginda melepaskan kain serbannya dan dihampar ke tanah. Moga tiada debu yang menghinggapi ibu mulia itu tatkala ia duduk. Sahabat teruja dan kagum melihat sendiri peribadi Nabi.
                Halimah meninggal di Madinah dan dikebumikan di makam Baqi’.

-fatimahsyarha-

Jumaat, Ogos 03, 2012

Sejarah Solat 5 Waktu



Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan. 

Subuh

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

  1. Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
  2. Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Zohor

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

  1. Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
  2. Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
  3. Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
  4. Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

Asar

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

  1. Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
  2. Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
  3. Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
  4. Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Maghrib

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

  1. Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
  2. Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
  3. Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

Isyak

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

  1. Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
  2. Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
  3. Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
  4. Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

Jumaat, Julai 27, 2012

SOLAT SUBUH: GANJARAN PAHALA DAN TIPS MENJAGA SOLAT SUBUH.




“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat isya’ dan solat subuh.Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan datang kepada keduanya sekalipun dalam keadaan merangkak…” [HR Al-Bukhari dan Muslim]

Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: 

“Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta’arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.

Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.

Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.

Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.

Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.

Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?

Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim).

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.

Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)

Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.

Tips Menjaga Solat Subuh


1. Ikhlas niat hanya kerana Allah SWT, dan berikanlah hak-hakNya.

2. Bertekad dan muhasabah diri anda setiap hari.

3. Bertaubat dari dosa-dosa dan berniatlah untuk tidak mengulangi kembali.

4. Perbanyaklah membaca doa agar Allah memberi kesempatan untuk solat Subuh.

5. Carilah kawan yang baik untuk saling membantu mengingatkan Solat Subuh di Masjid.

6. Latihlah untuk tidur dengan cara yang diajarkan Rasulullah. (tidur awal, berwudhu sebelum tidur, miring kekanan, berdoa.) 

7. Sampaikan pada orang lain akan gaya hidup anda yang baru.

8. Sedikitkan makan sebelum tidur serta jauhilah teh dan kopi pada malam hari.

"Jadikan Al-Quran Sebagai Teman Hidup Di dunia dan Rakan Yang Mesra Di Dalam Kubur"

Solat Sunat Subuh

Antara solat sunat yang sangat dituntut adalah solat sunat subuh. Ada riwayat mengatakan bahawa Rasulullah sangat menjaga solat sunat subuh ini walau pun terlewat untuk mengerjakan solat subuh.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya daripada Saiyidah Aishah r.a., isteri Rasulullah SAW, bahawa Baginda telah bersabda:

"Solat dua rakaat (sebelum) Solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isi buminya".

Dan diriwayatkan oleh Saiyidah Aishah juga bahawa Rasulullah SAW bersabda lagi berkenaan solat dua rakaat ini:

"Dua rakaat ini lebih aku sukai daripada segala isi dunia."

Dan diriwayatkan lagi oleh Saiyidah Aishah r.a. bahawa Rasulullah SAW apabila di dalam perkara Solat Sunat, Baginda mengambil berat untuk mengerjakan Solat Sunat Subuh lebih daripada yang lain-lain.

Wasallam,

Sabtu, Julai 21, 2012

Dr. Morsi Sah Presiden Baru Mesir




Dr. Morsi Sah Presiden Baru Mesir


KAHERAH - Wakil Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi diisytihar memenangi pemilihan Presiden Mesir yang pertama selepas Hosni Mubarak digulingkan awal tahun lalu. Mohammed, yang mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan, memperoleh 51.73 peratus undi manakala pencabarnya di pusingan kedua pemilihan, Ahmed Shafiq, yang juga bekas Perdana Menteri era Hosni, mengumpulkan 48.27 peratus undi.

 Pemilihan pusingan kedua diadakan awal minggu lepas. Sebaik sahaja pengundian berakhir, kedua-dua calon itu mengisytiharkan diri mereka sebagai pemenang. Keputusan pemilihan sepatutnya diumumkan Khamis lalu, tetapi ditangguhkan ekoran aduan daripada calon-calon yang bertanding. Seramai 50.3 juta pengundi layak mengundi.

Kira-kira 37,000 kertas undi telah dibatalkan, kata Ketua Suruhanjaya Pemilihan Presiden, Farouq Sultan yang membacakan mukadimah kira-kira 90 minit. Katanya, suruhanjaya itu menerima sebanyak 452 rayuan daripada kedua-dua calon.

 Pengumuman itu membawa kepada kegembiraan di kalangan penyokong Mohammed yang berhimpun di Dataran Tahrir sejak beberapa hari lalu. Kelewatan pengumuman mencetuskan rasa gelisah dan ketegangan di Mesir khususnya di kalangan penyokong dan pengikut Mohammed.

 Pengumuman dibuat di sebalik kawalan ketat ekoran kebimbangan bahawa keputusan pemilihan boleh membawa kepada pergaduhan, sekali gus mencetuskan keadaan tidak terkawal sebagaimana disaksikan awal tahun lalu - ketika kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan kepimpinan Hosni.

 Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Hosni dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru, tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka.

 Kuasa presiden dihadkan manakala perlembagaan pula belum dirangka.

____________________________

Mabruk.
Alfu mabruk.


Keputusan Rasmi Pilihanraya Presiden Mesir:-

Dr. Mohammed Morsi 13,230,131 undi. Peratusan : 51.73%
Ahmed Shafiq 12,347,380 undi. Peratusan :48.27% 


Tahniah buat Dr Morsi.
Tahniah buat semua penduduk Mesir dan sahabat-sahabat yang bermusafir ke Mesir.



Buat pengetahuan semua, Ahmed Syafiq merupakan kuncu kuncu Hosni Mubarak. Sekiranya kemenangan tidak berpihak pada Dr Morsi, nasib Mesir akan sama seperti sebelumnya. Seperti pemerintahan kuku besi rejim mubarak.
Maka, layaklah kita bersyukur dan menyambut kemenagan ini dengan penuh gembira, kerana ini adalah 

BUSYRA dari Allah untuk kita semua.
BUSYRA dari ALLAH untuk semua pejuang ISLAM, bahawa suatu hari nanti, ISLAM akan menang, masanya saja dalam rahsia ALLAH, tapi kemenangan itu adalah PASTI.


Allah buktikan kemenangan ISLAM di MESIR.
ALLAH mahu tunjuk pada pejuang pejuang ISLAM di seluruh negara terutamanya MALAYSIA.
Teruskan berjuang. Jangan lelah.
Saat menang itu sungguh bermakna dan kelelahan itu akan hilang.
Ini adalah ubat buat semua pejuang ISLAM.
Motivasi untuk kita meneruskan perjuangan dan akhirnya memenangkan ISLAM.


Say
ALHAMDULILLAH.

Masa depan Mesir tampak cerah.
Hilang kabut.
;)

Masa depan Mesir,
nampak indah.

Masa depan Mesir,
nampak sinar.

Yang penting,
usaha membantu kemenangan Islam.

Dan tak ketinggalan,
DOA!

Itu senjata orang Mukmin.
;)

Alfu mabruk buat Dr Morsi. Alhamdulillah. Summa Alhamdulillah.

Gembiranya, tatau dah nak cakap macamana.

Kita tunggu apa yang akan berlaku.

Moga moga tempias kemenangan Islam terkena ke Malaysia.

Kita juga mahu ISLAM menang di MALAYSIA!

Teruskan berdoa untuk mereka di Mesir.
Mengisi kemenangan juga adalah satu cabaran yang besar.

Ya, besar.

Dan jangan lupa,
doakan Malaysia juga.

Kita bakal mengisi kemenangan di Malaysia,
tapi sebelum tu,
ISLAM kena menang dulu di Malaysia.

Insya Allah.
Ameeeen!