Memaparkan catatan dengan label tokoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tokoh. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 24, 2012

Maimunah binti al-Harith: Suaminya Meminta Izin


Maimunah binti al-Harith: Suaminya Meminta Izin
Profil
·         Maimunah binti al-Harith al-Hilaliyah al-Amiriyyah
·         Saudara perempuannya ialah Ummul Fadhl binti al-Harith, isteri al-Abbas, bapa saudara Rasulullah SAW.
·         Ibu saudara kepada Ibnu Abbas (pakar tafsir) dan Khalid al-Walid (pedang Allah).
·         Suami pertamanya ialah Mas’ud bin ‘Amr al-Tsaqafi yang kemudian menceraikannya kerana cinta Maimunah kepada golongan Muslimin.
·         Suami keduanya ialah Abu Ruhm bin Abdul ‘Uzza, bercerai mati.
·         Beliau adalah isteri Nabi yang terakhir. Selepas beliau, Allah melarang Nabi menambah lagi isteri.
·         Bernikah dengan Rasulullah SAW pada tahun 7 hijrah dan empat tahun menjadi isteri baginda. 
·         Termasuk di kalangan tokoh wanita yang meriwayatkan sejumlah hadis. Antara orang yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah Ibnu Abbas, Abdullah bin Syaddad bin al-Haad, Ubaidullah bin As-Sabbaq, Abdurrahman bin As-Saib al-Hilali dan Yazid al-Asham, Kuraib, Sulaiman bin Yasar, Atha’ bin Yasar dan lain-lain (Siyar a’laam an-Nubalaa’).      
·         Meninggal pada tahun 51 hijriah di daerah Saraf, tempat malam pertamanya dengan Rasulullah SAW.
Menghadiahkan diri Buat Rasulullah
            Rasulullah SAW dan para sahabat datang ke Makkah untuk melaksanakan umrah. Rentetannya, meletuslah peristiwa Hudaibiyah. Sebelum pulang ke Madinah, terjadilah pernikahan yang penuh barakah antara Rasulullah SAW dengan Maimunah.
Beberapa ulama termasuk al-Zuhri menyatakan bahawa Maimunah binti al-Harith termasuk wanita yang menghadiahkan dirinya kepada Rasulullah SAW.  Ada perbezaan pendapat dalam isu ini. Yang jelas, memang ramai gadis dan janda yang menawarkan diri kepada Nabi. Namun semua ditolak baginda kecuali seorang janda. Itupun atas kepentingan agama.
Apa yang pasti, sekalipun benar Maimunah menghadiahkan dirinya  kepada Rasulullah SAW, beliau tidak memilih cara menggoda atau mengurat. Beliau melakukannya secara terhormat. Meninggikan martabat malu seorang wanita. Hinggakan, jika dikaji kisah pernikahan ini lebih mendalam, seakan-akan Rasulullah SAW sendiri yang memulakan lamaran ini.
Saat Akad Terlafaz
Kisahnya begini. Menjelang masuk ke Makkah, Rasulullah SAW  mendengar perihal sekuntum mawar agama bernama Maimunah.  Bukan tentang kecantikannya atau kekayaannya tapi tentang kecintaannya kepada Allah dan Rasul.
Dalam peristiwa Hudaibiyah tersebut, Maimunah berani mengisytiharkan ke-Islamannya secara terang-terangan. Hal ini mempengaruhi ramai penduduk Makkah yang lain.
Sebagai pemimpin berwawasan jauh, Rasulullah SAW dapat menjangkau satu strategi demi kepentingan ummah.  Apa lagi? Menikahi wanita hebat lagi berpotensi ini.
Tiada motif menjamu nafsu. Tiada kecurangan. Tiada hubungan cinta sebelum bernikah. Tiada berutus-utus surat ( sms atau e-mail). Baginda bernikah lagi bukan kerana tidak tahan menahan nafsu atau takut berzina. Jauh sekali memberi tindakan ‘padan muka’ kepada isteri sedia ada. Baginda tulus ingin melindungi dan menafkahi janda yang berpotensi besar memberi manfaat buat ummah.
Baginda mengutuskan Ja’far bin Abu Talib untuk menemui Maimunah. Maimunah mewakilkan dirinya dengan adik iparnya iaitu Abbas. Abbas menikahkah Maimunah dengan Rasulullah SAW.
Ketika keluar dari Makkah, Rasulullah SAW menugaskan Abu Rafi’ untuk membawa Maimunah kepadanya. Maka, baginda menghabiskan malam pertamanya dengan Maimunah di daerah Saraf. (Zaadul Maa’d, vol. 2, hlm. 152. Riwayat Bukhari, no. 1837 dan Muslim, no. 1410).
Yazid bin al-Asham berkata, “Rasulullah SAW meminang Maimunah ketika baginda dalam keadaan halal (tidak berihram) dan memulai malam pertamanya dalam keadaan halal juga.” (HR Muslim).
Pujian Buat Maimunah       
Rasulullah SAW bersabda, “Ada  4 perempuan bersaudara iaitu Maimunah, Ummu Fadl, Salma dan Asma’ binti Umais (adik seibu), mereka adalah wanita-wanita yang beriman.” (HR Nasa’i dan Hakim).
Aisyah r.ha berkata selepas wafatnya Maimunah, “Maimunah adalah wanita bertakwa dan paling kuat menjaga silaturahim antara kami.”
Maimunah tegas menjaga hukum Allah SWT. Suatu ketika beliau didatangi oleh salah seorang kerabatnya. Beliau tercium bau arak di mulutnya. Dengan tegas, beliau berkata,
“Jika engkau tidak mengakui kesalahanmu kepada kaum muslimin hingga mereka menyebatmu, maka jangan pernah menemuiku lagi.” (Riwayat Ibnu Sa’ad).
Izinkan Suami ke Sisi Buah Hatinya
            Menjelang kewafatan, Rasulullah SAW mulai berasa sakit ketika sedang berada di rumah Maimunah r.ha. Baginda meminta izin kepada Maimunah dan para isteri baginda yang lain agar dapat menjalani masa rawatan di rumah Aisyah r.ha.
Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah menyatakan bahawa Aisyah r.ha berkata, “Ketika Rasulullah SAW merasa semakin berat dan penyakitnya bertambah parah, baginda meminta izin kepada seluruh isterinya untuk menjalani rawatan di rumahku. Merekapun mengizinkannya.” (Riwayat Bukhari.)
Begitulah tawadhuknya hati seorang suami bergelar Nabi. Baginda berkerja keras melaksanakan keadilan. Baginda tidak mengambil mudah. Baginda tidak mencuaikan hak. Baginda menghormati hati dan perasaan orang lain.
Itulah rahsia baginda reda kepada semua isterinya dan dalam masa yang sama, semua isterinya reda kepada baginda. Persoalannya, masih adakah suami yang menganggap meminta izin isteri itu suatu kehinaan?
Mengubati Suami
Sakit Rasulullah SAW bertambah parah hingga baginda pernah pengsan. Isteri-isteri baginda sepakat menggunakan pengubatan al-Ladd(memberi minuman dari sisi salah satu bibir). Ketika sedar, baginda bertanya,
“Apa ini?”
Mereka menjawab,
“Ini cara pengubatan yang digunakan oleh wanita-wanita dari daerah itu (sambil menunjuk arah negeri Habasyah).” Saat itu Asma’ binti Umais ada di situ.
Mereka berkata lagi, “Wahai Rasulullah, tadinya kami mengira tuan terkena penyakit dzaatul janb (sakit paru-paru, batuk, demam dan sebagainya).”
Rasulullah SAW bersabda, “Itu penyakit. Allah tidak memberiku penyakit seperti itu. Semua keluargaku harus diubati dengan cara al-Ladd, kecuali bapa saudara Rasulullah SAW (Abbas).”
Asma’ berkata, “Maimunah pernah diubati dengan cara al-Ladd, padahal dia sedang berpuasa kerana pesan yang tegas daripada Rasulullah SAW itu.” (Riwayat Ahmad).
Saatnya Berpisah
Sepeninggalan suaminya, beliau sibuk bercinta dengan Allah melalui solat malam, berpuasa dan membaca al-Quran.
Maimunah melewati masa pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin sehingga pemerintahan Mua’wiyah. Beliau sangat dihormati dan dimuliakan sesuai dengan statusnya sebagai isteri Nabi.
Menjelang kematiannya, Maimunah r.ha. teringat suatu kata-kata Rasulullah SAW. Yazid bin al-Asham berkata,
“Maimunah, isteri Nabi SAW, merasakan sakitnya semakin parah ketika berada di Makkah. Saat itu, tidak ada seorangpun dari anak-anak saudara lelakinya yang hadir. Dia berkata,
‘Bawalah saya keluar dari Makkah, kerana Rasulullah SAW pernah berkata  bahawa saya tidak akan meninggal di Makkah.’
Maka beliau dibawa ke daerah Saraf, dekat sebuah pohon yang menjadi saksi malam pertamanya dengan Rasulullah SAW, kerana baginda membangunkan khemah di bawahnya. Di tempat itulah Maimunah menghembuskan nafas terakhirnya.

Jumaat, April 27, 2012

Antara Aishah dan Asiah

Antara Aisyah dan Asiah


Aisyah binti Abu Bakar r.a., siapa yang tidak mengenalinya? Cerdas, cantik, nasab keturunan yang utama dan isteri dari manusia paling utama, Muhammad SAW. Pada diri beliau berkumpul segala keutamaan dan kebaikan. Keshalihan bertemu keshalihan. Beliau memperoleh kemuliaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Harapan dan tauladan bagi segenap manusia. 

            Asiah, mungkin hanya sedikit yang mengenalinya. Beliau adalah isteri kepada Fir’aun laknatullah. Beliau mempunyai peranan yang penting dalam senario dan kisah penjagaan Allah terhadap Rasul-Nya. Bayi Musa a.s. membesar dan selamat dari kezaliman Fir’aun sehingga dilantik menjadi Rasul Allah bagi menyampaikan ajaran-Nya yang agung dan membebaskan manusia daripada tirani jahiliyyah yang zalim. Asiah pun turut beriman kepada Tuhannya dan Tuhan Musa. Namun keimanan itu harus berhadapan dengan hukum thaghut suaminya. Beliau berani kehilangan nyawanya demi keimanan kepada Allah S.W.T. Beliau redha atas takdir dirinya dan merasakan kepedihan di dunia untuk memperolehi kemuliaan di akhirat. Keshalihan bertemu dengan kezaliman. Sebuah wacana indah bagi mereka yang mencintai keimanan.

            Aisyah r.a. dan Asiah, dua watak wanita utama di zamannya. Namun kedua-duanya mempunyai kisah hidup yang berbeza. Allah S.W.T. mengabadikan kedua-duanya di dalam Al Qur’an untuk  dijadikan ibrah dan iktibar. Allah ingin mengajarkan kita tentang sebuah kenyataan. Bahawa tidak selalu keshalihan bertemu dengan keshalihan. Sebagai contoh, realiti hidup Aisyah r.a., di mana Allah S.W.T. mempertemukan keshalihan dengan keshalihan. Keshalihan peribadi bertemu dengan keshalihan kolektif.

Namun ada realiti yang sebaliknya, di mana hidup kita mungkin tidak semanis kehidupan Aisyah r.a. Realiti hidup seperti Asiah, (syuhada’ dari kalangan wanita). Di mana keshalihan bertemu dengan kekufuran dan kezaliman. Keshalihan peribadi tidak bertemu dengan keshalihan kolektif. Bahkan keshalihan kita harus bertahan dalam kezaliman kolektif yang sistemis dan telah membudaya di dalam pentas masyarakat. Seperti keshalihan Asiyah di antara kezaliman suami dan kaumnya. Asiyah mampu membuat pilihan yang cerdas dalam keshalihannya yang merupakan minoriti dalam masyarakat ketika itu. Keshalihan peribadinya mampu mengatasi hidup di dunia untuk kemuliaan hidup di akhirat. Kehidupan yang abadi, bertetangga dengan Allah S.W.T., dalam sebuah rumah di syurga-Nya . Inilah pilihan dan do’a Asiyah:
Wahai Rabbku bangunkanlah bagiku  di sisi Engkau sebuah rumah bagiku di syurga. Dan selamatkannlah diriku dari Fir’aun dan perbuatannya dan selamatkanlah diriku dari kaum yang zalim”(QS.At Tahrim :11). 

Dari sinilah kita dapat mempelajari daripada Asiah tentang hakikat keshalihan. Sesungguhnya, setiap dari kita semoga sampai kepada kesedaran bahawa kita perlu shalih secara peribadi. Keshalihan yang mengakar kuat dalam diri kita. Keshalihan yang memiliki imuniti terhadap keadaan luaran yang boleh jadi tidak selalu shalih. Keshalihan yang tidak terpengaruh oleh usikan orang-orang di sekitar kita.

 Kita perlu keshalihan yang cerdas, yang  mampu menghadapi pilihan-pilhan hidup dengan neraca Ilahiyah. Hidup yang sulit dan pelik tidak seharusnya meluruhkan keshalihan kita. Keshalihan kita juga keshalihan yang kuat kerana kadang-kadang, orang lain tidak selalu bersama kita dan mendukung keshalihan kita. Keshalihan yang mandiri, yang mampu mendorong kita selalu bergiat dan beramal ketika sendirian atau bersama orang lain.  Kerana kita masing-masing akan bertanggungjawab atas setiap detik dari hidup kita. Sebagaimana kelak di yaumul hisab, kita harus bertanggung jawab secara peribadi di hadapan Allah SWT. Tidak terwakilkan atau diwakilkan. 

            Akhir kalam, kita sedar bahawa untuk mendapatkan keshalihan peribadi kita harus berjuang. Apatah lagi, bagi kita yang ternyata hidup bersama ketidakshalihan. Teguhlah selalu kerana bagi kita itu adalah ujian untuk meningkatkan darjat keshalihan kita. Sedangkan bagi yang hidup bersama keshalihan, semoga tetap waspada dan terus istiqamah di jalan-Nya. Merupakan kecelakaan besar, di mana seseorang hidup dalam komuniti yang shalih namun tidak mampu mengambil pelajaran untuk mencapai keshalihan peribadi. Semoga kita terhindar dari keshalihan yang demikian, keshalihan  yang melenakan. Dan kita terus belajar dari Aisyah dan Asiyah tentang sebuah keshalihan, keshalihan yang menyelamatkan. Dan hanya kepada Allahlah kita sandarkan keshalihan kita. Tidak kepada siapapun , selain-Nya.

Jumaat, April 13, 2012

6 Pertanyaan Imam Al Ghazali kepada anak muridnya


1. Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia?
2. Apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia?
3. Apakah yang paling besar di dunia?
4. Apakah yang paling berat di dunia?
5. Apakah yang paling ringan di dunia?
6. Apakah yang paling tajam di dunia?


Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:


PERTAMANYA beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab : " Orang tua, guru, kawan dan sahabat". Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah 'mati'. Sila rujuk surah Ali 'Imran ayat 185


KEDUANYA beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab : " negara China, bulan, matahari dan bintang". Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masa lalu'. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke amasa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.


KETIGANYA beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: " Gunung, bumi, matahari". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahannam. Rujuk surah al-A'raf ayat 179


KEEMPAT belia bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu murudnya menjawab : " Besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.


KELIMA beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab : " Kapas, angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'meninggalkan sembahyang' kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.


KEENAM beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab : ' Pedang". Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia' di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

Jumaat, April 06, 2012

Air Mata Kekasih Allah


Tiba-tiba di luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. “Bolehkah saya masuk?” tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. “Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya kepada Fatimah, “Siapakah itu wahai anakku?”

“Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu ingin dikenang.

“Ketahuilah, ialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut,” kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa malaikat Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih ALLAH penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan kepadaku apa hakku nanti di hadapan ALLAH?” tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menunggu rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega. Matanya masih penuh kecemasan.

“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” tanya Jibril lagi. “Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”

“Jangan khuatir, wahai Rasul ALLAH. Aku pernah mendengar ALLAH berfirman kepadaku; “KUharamkan syurga bagi siapa sahaja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.” Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam. Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

“Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” tanya Rasulullah pada malaikat penghantar wahyu itu.

“Siapakah sanggup melihat kekasih ALLAH direnggut ajal,” kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh kerana sakit yang tidak tertahan lagi. “Ya ALLAH, dahsyatnya maut ini, timpakan saja semua seksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.” Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum - peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.” Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. “Ummatii, ummatii, ummatii” - “Umatku, umatku, umatku.”

Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini mampukah kita mencintai seperti dirinya? Allahumma sholi ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi. Betapa cinta Rasulullah kepada kita.

~ku taip sambil menitiskan air mata~

Jumaat, Mac 30, 2012

Balaslah Kejahatan Dengan Kebaikan


Di satu sudut pasar Madinah Al- Munawarah ada seorang pengemis Yahudi buta. Hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya dia selalu berkata, "Wahai saudaraku janganlah kamu dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya."
Namun tanpa disedari pengemis Yahudi buta, setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan. Tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Begitulah yang dilakukan oleh baginda pada setiap hari sehinggalah ke saat kewafatannya.
Setelah kewafatan Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari Abu Bakar Radhiallahu Anhu (RA) berkunjung ke rumah anaknya Aisyah. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?"
Aisyah menjawab pertayaan ayahnya, "Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah saja."
"Apakah itu?", tanya Abu Bakar RA.
"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana," kata Aisyah.
Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Beliau mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya.
Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapkan nasi, si pengemis itu marah sambil berteriak, "Siapakah kamu?"
Abu Bakar RA menjawab, "Aku orang yang biasa."
"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku," jawab si pengemis buta itu.
"Apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapkan aku tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut," pengemis itu melanjutkan perkataannya.
Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya. Beliau menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada lagi. Beliau adalah Muhammad Rasulullah SAW."
Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar RA, dia pun menangis dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya dan memfitnahnya. Dia tidak pernah memarahiku walau sedikit pun, malah dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia.."
Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah dihadapan Abu Bakar RA.

Jumaat, Mac 23, 2012

Pengorbanan Pejuang-Pejuang Allah


Inilah jalan yang ditempuh oleh Ulama'-Ulama' sebenar dalam menegakkan agama Islam~

Imam Syafie
Tangan dan kakinya dirantai lalu dibawa menghadap pemerintah dan hampir-hampir dipancung kerana dituduh Syiah dan pemecah belah masyarakat

Imam Hanafi
Ditangkap, dipenjara, disebat, diseksa dan dipaksa minum racun oleh pemerintah lalu meninggal dunia kerana tidak bersetuju dengan dasar-dasar pemerintah

Imam Maliki
Disebat dengan cemeti lebih kurang 70 kali sepanjang hayatnya oleh pemerintah kerana sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehendak pemerintah

Imam Hambali
Dipenjara oleh pemerintah dan dirotan belakangnya hingga hampir terlucut kainnya kerana mengeluarkan fatwa yang bertetangan dengan kehendak pemerintah. Pemerintah menganggap diri mereka lebih betul daripada Ulama'

Sufyan At-Thauri
Seorang wali Allah yang termahsyur. Ditangkap tanpa bicara kerana berani menegur kesalahan khalifah dan dihukum gantung tetapi sewaktu hukuman dijalankan kilat & petir menyambar pemerintah dan menteri-menterinya lalu mereka mati tertimbus tanah.

Said b. Jubair
Seorang wali Allah yang dikasihi harimau. Dibunuh kerana didakwa memecah belahkan masyarakat, menentang kerajaan dan berkomplot untuk menjatuhkan pemerintah

Abu Yazid Al-Bustami
Wali Allah yang terkenal dengan pelbagai karamah. Dituduh sesat kerana ilmu agamnya lebih tinggi daripada pemerintah. Dihukum pancung oleh pemerintah tetapi tiada siapa berjaya memancungnya

Abul Husin An-Nuri
Wali Allah yang mampu menundukkan api. Ditangkap dan hampir dihukum kerana dia menentang tidakan pemerintah yang membenarkan minuman arak berleluasa dalam negara.

Imam Nawawi
Hampir-hampir dipukul dan telah dibuang negara oleh pemerintah kerana menegur tindakan pemerintah menyalahgunakn wang rakyat. Juga seorang wali Allah yang terkenal sepanjang zaman.

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah akan memberi jaminan kepada orang-orang yang keluar (berjuang) di jalan-Nya"

p/s: Hebat kan perjuangan dyeorang, so dapatkah kita mencontohi sifat & pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu?? Fikir-fikirkanlah~

Jumaat, Mac 16, 2012

9 siti yang menjadi tauladan


1) Siti Khadijah
Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yg melahirkan anak2 Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh org2 kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kpd Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira'.

2) Siti Fatimah
Anak Rasulullah yg tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kpd suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kdg2 berbantalkan lengan Ali. Rasulullah pernah b'kata aku takkan maafkan kamu wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan kamu.

3) Siti A'ishah
Beliau isteri Rasulullah yg paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dgn Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yg sama.

4) Siti Hajar
Isteri Nabi Ibrahim yg patuh kpd suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air utk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorg ibu mithali).

5) Siti Mariam
Wanita suci yg mmg pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yg tinggi sehingga rahimnya dipilih oh Allah s.w.t utk mengandungkan Nabi Isa.

6) Siti Asiah
Isteri Firaun yg tinggi imannya dan tidak gentar dgn ujian yg dihadapinya drpd Firaun Laknatullah.

7) Siti Aminah
Wanita mulia yg menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

8) Siti Muti'ah
Isteri yg patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kpd suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat utk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dgn cantik utk tatapan suaminya sahaja.

9 ) Siti Zubaidah
Wanita kaya dermawan yg menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya utk membina terusan utk kegunaan org ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

“Sesungguhnya seorang muslim apabila bertemu saudaranya yang muslim, lalu ia memegang tangannya (berjabat tangan) maka gugurlah dosa keduanya sebagaimana gugurnya daun-daun dan pohon kering jika ditiup angin kencang. Sungguh diampuni dosa mereka berdua, meski sebanyak buih dilaut” (H.R. Tabrani)

Jumaat, Mac 09, 2012

Inginkan Ulama Malaysia Seperti Al-Qaradawi?


Oleh Zaharuddin Abd Rahman(www.zaharuddin.net)
IMG_4821
Menghadiri pengajian intensif bersama Sheikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Doha Qatar memberi seribu satu macam kesan dan semangat buat diri saya, tercapai juga hasrat untuk mengaji secara berdepan bersama Sheikh yang telah lama tersimpan sebelum ini.
Terkenang pada hari pertama, Sheikh menceritakan kepada kami liku-liku pengajiannya sehingga tertulisnya buku pertama beliau ‘Al-halal wal al-haram fil Islam’. Sebelum syeikh sampai ke majlis, Setiausaha ahli jawatankuasa penganjur, menceritakan pelbagai latar belakang Sheikh yang amat menarik perhatian. Berkenaan cara sheikh menulis kitab-kitabnya dan lain-lain.
Dari pelbagai yang diceritakan, ada satu perkara yang ingin saya sentuh dalam tulisan ringkas ini. Iaitu kebijaksanaan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang terserlah sejak beliau di peringkat sekolah rendah lagi. Menurut info yang diberikan, Sheikh adalah tergolong dalam 100 pelajar terbaik seluruh Mesir sejak peringkat rendah lagi sehinggalah ke peringkat Universiti.
PILIHLAH PELAJAR CEMERLANG JADI USTAZ
Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuan Islam itu dipilih dari kalangan pelajar-pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi. Malah sudah sekian lama, saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam termasuk PAS, agar membuat satu perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama Malaysia yang berwibawa, menembusi peringkat global dan berperanan besar.
Sebelum ini seringkali kita melihat, ibubapa yang mempunyai anak-anak bijak dan rajin serta memperolehi keputusan peperiksaan cemerlang, dijuruskan oleh ibubapa mereka ke arah menjadi doktor perubatan dan lain-lain bidang profesional berasaskan ilmu sains.
Keadaan dan kecenderungan sedemikian menjadikan jumlah pelajar berminda cerdas dan rajin JARANG dapat disalurkan menjadi seorang ilmuan DAN PEMIKIR ISLAM YANG HEBAT.
Teringat bagaimana Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan ‘cream of the cream’ ketika di Mesir, sejak kecil. Justeru, dengan pengajian bersungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi seorong ilmuan Islam dan daie yang terulung di dunia.
Saya amat berharap kepada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini agar cubalah membentuk anak tuan dan puan yang terbukti berminat, rajin dan cerdas akal fikirannya untuk dibentuk menjadi seorang alim besar.
PROSES PERLU PLAN TERSUSUN DAN TERANCANG
Proses ini tentunya perlu kepada ibubapa yang sudah sediakan alim di bidang agam, atau jika tidak  ia lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.
Saya teringat info yang diberi oleh seorang seorang pelajar Melayu yang telah menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan bahawa proses untuk mencapai apa yang telah dan sedang beliau capai itu, banyak juga bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia yang menasihatinya selalu, agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal apa yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.
Demikian, proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan seorang ulama bertaraf lima bintang di Malaysia, kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor, yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan agar pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.
Kita tidak mahu, pengajian mereka terpilih salah guru akhirnya menjadi seorang yang ekstrem yang bersifat pemecah berbanding penyatu umat dalam masalah yang bukan pokok.
INGIN JADI ALIRAN MANA INI?
Sebagaimana diketahui agak banyak juga pecahan-pecahan aliran pemikiran Ulama Islam dalam menanggapi dan memahami teks-teks Al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Sehingga tergelar begitu banyak jenis aliran, kefahaman dan kumpulan. Masing-masing merasa mereka yang terbenar dan berada di jalan yang sohih, menafikan kebenaran pada yang lain.
Seperti wujudnya aliran salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana,  Salafi lembut, khalafi keras ( digelar Ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga Sufi tarekat, aliran hadith, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya.
BANGGA DENGAN GURU & TEMPAT
Selain terpecahnya aliran sebagaimana di atas, kerap juga ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan Sheikh (guru) masing-masing.
Sehingga ke suatu tahap, tidak merasa apa yang dipunyai oleh individu dan kumpulan lain mampu dan sampai ke tahap keilmuan dan kefahaman mereka.
Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujjah sesama sendiri serta terabai akhlak mulia dan masalah lebih besar dan nyata di kalangan masyarakat awam.
Di tambah dengan keadaan masyarakat awam yang majoritinya masih malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara penyelidikan. Keadaan di atas menjadi bertambah buruk.
Kumpulan masyarakat ini akhirnya, sering terikut-ikut cara 'pemalas' lalu mempakejkan kebenaran kepada hanya satu-satu kumpulan, selain mempakejkan kesalahan juga  kepada yang lain. Bermakna, jika sudah dilabel seseorang individu sebagai 'tidak bersama kumpulan dan alirannya', semua ilmu dari sebelah sana TIDAK BOLEH dibaca atau difikirkan sama sekali, hanya layak ditolak walau perlu melalui takwilan yang tersasar agar kelihatan jahat pandangan tersebut.
Padahal, kebenaran dalam hal ijtihadiyyah itu boleh sahaja bercampur-campur di pelbagai pihak, Hanya Allah yang maha mengetahui kesemunya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara khususnya dalam hal cabang fiqh dan lain-lain bidang agama.
Demikianlah Sheikh Al-Qaradawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa jua topik keagamaan. Selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan itu berada dalam kategori qat'ie atau zhonni.
withsheikh
PECAH KERANA UNIVERSITI
Sedihnya apabila melihat terdapat lulusan timur tengah memandang rendah kepada lulusan tempatan, hanya kerana mereka dapat belajar dari guru berbangsa arab.
Graduan universiti tempatan pula ada yang menafikan kebijaksanaan graduan timur tengah, khususnya apabila mengetahui majoritinya pergi bukan dengan biasiswa kerajaan hasil keputusan terbaik, tetapi pergi atas belanja sendiri atau dermasiswa kerajaan negeri tertentu, setelah tidak mampu memperolehi biasiswa JPA atau Kementerian dek kerana keputusan SPM yang tidak melayakkan biasiswa diterima.
Haru melihat pandangan rendah di antara satu sama lain seperti ini berlaku, namun ia hakikat walau pahit ditelan.
Lulusan Mesir pula, terdapat sebahagian yang memandang rendah lulusan Jordan, Morocco Syria dan lainnya, almaklumlah mereka merasakan diri mengaji di institusi tertua pengajian Islam, dipenuhi ulama sejak seribu tahun yang lalu.
Lulusan Mekah dan Madinah pula, ada sebahagiannya merasa diri paling hebat almaklum mengaji di tanah Rasul tercinta, Mekah dan madinah yang penuh berkat. Hanya terpilih setelah proses interview dan menikmati biasiswa mewah kerajaan Arab Saudi.
Lulusan Jordan pula ada yang menganggap majoriti lulusan Mesir sebagai kurang kualiti, disebabkan pengajian mereka yang tidak bersistem, tiada kelas diwajibkan serta majoriti lemah di dalam bahasa arab fushah dan pelbagai alasan lagi diberikan.
Sebahagian lulusan Yaman pula merasa mereka lebih faqih dan faham berbanding yang lain
Sebahagian lulusan Pakistan merasa mereka lebih pakar di bidang hadis dari yang lainnya.
Dan senarai ini berterusan, sukar mencari penghujung. Padahal guru dan tempat belajar hanyalah sebab luaran kepada perolehan ilmu. Apa yang lebih penting adalah diri sendiri, keberkatan pengajian dan keikhlasan dalam menuntutnya.
Hakikatnya hal ini bukan sahaja berlaku di kalangan ustaz dan ustazah kecil di tanahair kita sahaja, malah di kalangan sheikh-sheikh arab yang dilihat alim juga ada memandang rendah kepada satu sama lain.  Malah beberapa ilmuan di Syria dan Saudi sering melihat Sheikh Al-Qaradawi sebagai tiada ilmu dan pelbagai lagi.
HASIL MASING-MASING RASA HEBAT
Hasil masing-masing merasa diri lebih hebat, maka berlakulah pertembungan hujjah. Dmulakan secara perlahan, berubah menjadi keras, emosi,  tiada akhlak. Berlakulah proses kecil memperkecil tahap ilmu di antara satu sama lain, mengutuk tempat pengajian satu sama lain dan sebagainya.
Ukhuwwah di antara golongan ini yang diharapkan menjadi model kepada masyarakat dan sepatunya dicontohi oleh masyarakat menjadi sebaliknya. Masjid dan surau tempat mereka dijemput ceramah dan berkuliah dijadikan medan berkesan untuk ‘membantai’ individu lain.
Masyarakat awam yang masih kegersangan ilmu dan keliru ini akhirnya semakin jauh, semakin keliru dan ragu, dan akhirnya memilih untuk memasuki salah satu kem dan memeriahkan permusuhan di antara satu sama lain. Adakah ini fungsi para lulusan agama ini?.
Gejala label melabel menjadi senjata antara satu sama lain. Label  ‘WAHABI’ dan ‘AHBASH’ dan banyak lagi seringkali digunakan.
Kelihatan seolah tiada siapa yang boleh melunakkan pihak-pihak ini kecuali JIKA DAPAT DITAMPILKAN SESEORANG YANG MEREKA SEMUA YAKIN DAN HORMAT.
Menurut pengamatan sederhana, kelihatan lulusan mesir hanya akan hormat kepada seseorang yang juga pernah mendapat kelulusan dari tempat yang sama dengan mereka. Demikian Mekah, Madinah, Jordan, Yaman Pakistan dan lainnya.
LAHIRKAN ULAMA HASIL GABUNGAN PENGAJIAN
Hasilnya, mungkin jika kita ingin melahirkan seseorang ilmuan yang insaf adil, lunak dan mampu meredakan ketegangan dan perpecahan ini. Mungkin dari sekarang NGO-NGO Islam dan ibubapa perlu merancang untuk melahirkan ulama ulung Negara dari proses pengajian yang pelbagai.
Setelah proses saringan pelajar terpintar, cerdas dan rajin tadi dilakukan dari peringkat rendah atau menengah rendah.
NGO atau organisasi Islam terbabit bolehlah merangka plan penghantaran pengajian pelajar terpilih ini. Setelah rangka asas pengajian terpilih ini, objektifnya sasarannya, proses monitor dan semakan yang komprehensif  disediakan.
Mungkin gabungan fasa pengajian seperti berikut boleh difikirkan. Selepas pelajar terbabit mencapai keputusan cemerlang di peperiksaan SPM.
1.       Diploma Tahfiz di Darul Quran atau mana-mana pusat tahfiz terbaik. ( atau hafazan ini boleh diperolehi lebih awal di sekolah menegaha sebagai contoh)
2.       Peringkat BA : Cadangan saya, menghantarnya ke mana-mana universiti di Jordan bagi tahap sarjana muda. Ini kerana bagi saya, kelulusan pensyarah-pensyarah universiti-universiti di Jordan biasanya adalah gabungan Phd dari Al-Azhar, Ummul Qura, Iraq, Jordan, Madinah, Syria dan lain-lain. Majoritinya dari Al-Azhar. Justeru, kepelbagaian latarbelakang pensyarah banyak membantu bagi melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran. Ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa arab fushah yang sederhana.
Selain pengajian di universiti, perlu ada mentor yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian-pengajian talaqqi dengan sheikh-sheikh teralim di Jordan khususnya di Amman.
Boleh juga ditambah jadual pengajian mereka dengan memberikan belanja yang cukup untuk mereka menghabiskan cuti semester dengan pengajian talaqqi di Syria di hadapan guru-guru terhebat di sana.
HASIL : Kita mengharap graduan ini tamat belajar dari Jordan dan Syria dalam tempoh 4 tahun dengan ijazah dan gabungan ilmu talaqqi di kedua-dua negara. Memperolehi kekuatan bahasa arab dan basic yang utuh dalam ilmu-ilmu Shariah sama ada bidang Fiqh atau Usuluddin.

3.       Peringat Masters : Cadangan saya, disiapkan sama ada di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah. Ini perlu bagi pelajar terpilih ini memperolehi kelebihan pengajian di mesir yang merupakan pusat ilmu Islam yang amat berpengaruh.
Pada masa yang sama, jika mampu, dinasihtkan pelajar ini menghadiri juga pengajian di Darul Ifta, Mesir. Harapannya, pelajar terpilih ini mampu menyiapkan kedua-dua Sarjana di Al-Azhar dan Darul Ifta’ dalam masa 5 tahun atau kurang.
HASIL : Diharapkan dengan tamanya pelajar ini dari bidang ini, beliau akan pulang dengan kemantapan pengajian ilmu syariah peringkat tinggi dari Mesir di kedua-dua Al-Azhar dan Darul Ifta.

4.       Peringkat PhD : Menyiapkan PhD di Universiti Islam Madinah atau Ummu Al-Qura.
Namun halangan, biasanya universiti Islam Madinah dan Mekah sukar menerima graduan yang tidak berlatar belakang dari universiti mereka di peringkat BA dan MA.
Sesuatu perlu diusahakan untuk membolehkan pelajar terpilih ini memasuki universiti ini. Harapannya, kekuatan pengajiannya di Jordan, Syria dan Mesir tadi dapat disempurnakan lagi di tanah suci ini.
Disamping pengajian rasmi di universiti, alangkah baik jika terdapat mentor yang telah mampu menasihatkan pelajar untuk mempelajari ilmu dari cara talaqqi. Di musim cuti, jangan diizinkan peljaar ini bekerja sampingan atau pulang ke Malaysia, tetapi perlu merantau ke Yaman untuk mendapat luahan ilmu dari guru-guru di sana pula.

HASIL : Dalam tempoh 4-5 tahun, dijangka pengajiannya boleh tamat. Ketika itu, amat berharap ilmuan yang dikeluarkan dari proses pengajian Islam yang mantap di Jordan, Syria, Mesir, Madinah, Yaman dan Mekah, maka akan TERHASILLAH SEORANG ILMUAN YANG sangat berwibawa, lunak, hikmah dan dihormati oleh majoriti aliran yang terdapat di Malaysia. Malah bijak pula menyesuaikan diri dengan ilmu-ilmu kontemporari.
Bagi melengkapkan lagi pusingan pengajiannya, selepas menamatkan Phd, mungkin pelajar terpilih ini boleh menunut paling kurang dalam tempoh 6 bulan di Pakistan untuk menghadiri kuliah di Darul Ulum, mendalami pengajian hadis. Juga dihantar setahun ke United Kingdom untuk pengajian Masters  ( hanya 1 tahun) di Institut Pengajian Tinggi di UK ( seperti di Markfield Institue of Higher Education, UK), bagi membolehkan beliau melihat dunia dan masyarakat yang berbeza dari tanah arab, disamping menggarap metodolgi pengajian dan pemikiran di Negara barat. Disamping mengasah kekuatan bahasa Inggerisnya agar benar-benar beliau mampu berhadapan dengan pelbagai pihak kelak.
Bayangkan, jika kita mampu melahirkan ilmuan yang melalui proses ini, saya bersangka baik, individu tersebut mampu untuk meredakan pertengkaran aliran-aliran yang sering bertengkar, bersangka buruk dan berselisih. Disebabkan individu ini besar kemungkinannya bakal dihormati oleh kebanyakan aliran pengajian seseorang graduan ilmu Islam.
Hasil penilaian saya, tahap keegoan beberapa graduan agama di Negara kita sukar dineutralkankecuali jika kita mampu melahirkan individu yang berpendidikan seperti di atas.
Namun tidak dinafikan, banyak cabaran yang merintang dan hasilnya belum pasti menjernihkan kedaaan, mungkin juga mengeruhkan lagi. Selain itu, proses di atas pastinya diragui oleh aliran-aliran yang telah wujud. Tentunya masih ada yang merasakan ‘individu ini adalah hasil tangan aliran itu’ justeru kita tidak terima dan sebagainya.
Cuma saya meyakini, kekuatan individu ini pastinya mampu serba sedikit merapatkan jurang yang telah wujud di kalangan graduan agama di Negara kita. Bukan hanya dengan tujuan peringkat nasional malah menjalar ke peringkat dunia. Berfungsi sebagai salah seorang ulama terulung di dunia hasil keluaran rakyat Malaysia.

MERANCANGLAH SAHABAT PERJUANG DI PLATFORM MASING-MASING
Kita sudah letih melihat, pengajian islam sering menjadi pilihan terakhir ibubapa setiap kali apabila memikirkan kerjaya anak-anak di masa hadapan. Kerjaya yang boleh menjana lebih banyak duit dan wang dan nama, sering menjadi keutamaan.
Akhirnya, agak ramai jumlah individu yang menjadi ustaz dan ustazah kekurangan kualiti ilmu. Disebabkan latar belakang mereka bukanlah dari jenis yang cintakan ilmu, cerdas dan rajin di dalam pengajian. Sejak dari pengajian peringkat rendah lagi terkenal dengan gagal dan ‘nakal’nya. Tiba-tiba dewasa menjadi ustaz, yang mengajar di masjid dan surau.
Bertambahnya jumlah graduan sebegini pastinya ada baik dan buruknya. Saya teringat berbincang dengan seorang sahabat yang bertanya bagaimana seseorang ustaz dan ustazah itu ingin muhasabah diri dan  mengukur sejauh manakah tepatnya pandangan mereka dalam hal-hal agama.
Jawapan saya panjang, namun ringkasnya termudahnya, mana-mana ustaz-ustazah yang lahir dari pengajian universiti bolehlah musahabah diri dengan  melihat kembali markah-markah peperiksaan mereka di universiti.
Benar, ia terlalu subjektif dan sukar untuk menjadi kayu ukuran. Tentunya markah peperiksaan semata-mata itu tidak mampu mencermin penilaian keilmuan seseorang dengan cara yang paling tepat, namun sekurang-kurangnya ia boleh member sedikit indikasi ukuran tahap cerdas pemikiran, hafazan, pemhana dan kerajinan seseorang individu itu semasa menjadi pelajar.
Bermakna jika, semasa tamat belajar dahulu di peringkat BA, MA atau Phd, markahnya adalah 50 %, mungkin beliau perlu sedar itulah peratusan kebenaran pandangan-pandangan fiqh dan agama yang disebarkan kepada masayarakat.
Jika 80 %, maka demikian juga tahap hampirnya dia kepada tepat. Jika hanya 46 %, maka besar jualah kemungkinan tersilapnya dia memberikan ilmu kepada masyarakat. Sama-sama kita muhasabah diri wahai para graduan agama. Agar apa yang kita berikan kepada masyarakat bukan berada di markah lulus tetapi markah cemerlang.
Atas sebab itu mungkin, majoriti institusi pengajian tinggi di seluruh dunia Islam meletakkan markah 75 % sebagai markah lulus bagi subjek-subjek bagi pengajian di peringkat tinggi MA dan PhD. Demikianlah sistem di Jordan, beberapa negara timur tengah dan juga universiti tempatan.
Ia memang perlu agar, keluaran pengajian tinggi di universiti-universiti ini bukan terdiri dari mereka yang hanya ‘cukup makan’ lulus di peringkat BA. Kerana mereka kelak perlu menjadi tenaga pengajar di universiti pula.

KESIMPULAN
Kita amat perlukan pelajar cerdas dan rajin sebagai bakal ustaz dan ustazah masa hadapan. Harapn tersebut memerlukan pernancangan dan memerlukan kos. Selain budget yang mungkin boleh diperolehi dari biasiswa kerajaan pusat atau negeri. Bagi menjayakan hasrat ini, pihak yang merancang memerlukan belanja lain agar plan yang digariskan dapat dilaksanakan.
Hasilnya kita berharap lahirnya ulama yang sangat tinggi kualitinya dewasa ini, seperti Al-Marhum Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi, Al-Marhum Sheikh Abul A’lA Al-Mawdudi, Sheikh Mufti Taqi Uthmani dan ramai lagi. Walau mereka bukan berbangsa arab, namun keilmuannya menembusi sempadan hormat dari ulama ‘Arab. Itu sesungguhnya sesuatu pencapaian yang amat sukar dicapai, namun mampu dicapai jika perancangannya melahirnya ulama sedemikian dilaksanakan dengan teliti.
Saya tidak berniat menyindir sesiapa, mana aliran dan mana-mana graduan dari mana-mana Negara dari tulisan ini. Hanyalah memberikan contoh sebenar dari pengamatan dan pengalaman di sekeliling agar kita sama-sama insaf. Namun, jika ada mana-mana aliran, kumpulan atau ustaz/ah yang terasa dengan tulisan ini, saya pohonkan kemafaan jika bahasanya kurang lunak dan elok.
Tentunya ia hasil kelemahan saya sendiri dalam usaha menyampaikan maksud yang diingini. Saya hanya mengharapkan kita sama-sama mampu melahirkan yang terbaik buat umat ini, sambil menyedari diri ini, mungkin tiada kemampuan mencapainya.
Akhirnya, jika ada mana-mana NGO dan ibubapa yang inginkan tenaga saya untuk membantu dalam perancangan ini, setelah mereka mempunyai pelajar terpilih, cukup ciri tadi, saya amat bersedia membantu setakat yang termampu, demi kebaikan ummah dan amal jariah diri untuk ke alam yang kekal abadi. Kegagalan kita merancang untuk melahirkan ulama ulung seperti Al-Qaradawi akan sentiasa menjadikan kita ketiadaan insan sepertinya.
IMG_4841
ciumqaradwi

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman