Adik-adik semua..” saya merendahkan nada bagi
mengakhiri tazkirah maghrib saya,
“Jagalah solat adik-adik semua. Abang bagitau
adik-adik semua tentang kewajipan solat, balasan apabila mengerjakan solat dan
azab serta ancaman jika meninggalkan solat sebab abang sayang pada adik-adik
semua.”
Saya menghelakan nafas. Kelihatan ada yang
menundukkan kepala, ada juga yang mengalirkan air mata.
“Abang tahu, ada di hadapan abang yang banyak kali
tinggal solat, atau solat lewat, atau ada yang tak pernah solat. Nanti kalau
ada masalah, boleh jumpa dengan abang secara peribadi, atau jumpa dengan kakak
dan abang fasi yang ada semasa program ini.”
Adik-adik di hadapan saya hampir kesemuanya
mengangguk. Memikirkan masa untuk berjumpa barangkali.
Usai tazkirah maghrib itu, kami mendirikan solat
isyak secara berjemaah. Kemudiannya ada slot untuk mereka seperti yang telah
dirancang oleh kami. Kesemua pelajar yang hadir dalam program ini adalah
sekitar umur 13 hingga 15 tahun.
Malam itu, selepas habis slot terakhir, mereka
diarahkan pergi ke dorm masing-masing untuk tidur. Saya pula melangkahkan kaki
ke kantin sekolah untuk merehatkan diri.
Semasa sedang berjalan, tiba-tiba ada seseorang
menegur saya
.
“Abang..” tegu seorang peserta, Fatin namanya.
Saya memandangnya dengan senyuman.
“Ya saya..?”
Dia merenung tepat pada mata saya.
“Nak tanya.. tadi masa tazkirah maghrib, abang
kata solat tu penting kan? Kalau tak solat, nanti kita masuk neraka kan?” Dia
memulakan bicara.
Saya memandangnya dengan penuh minat pada butir
bicaranya. Namun saya menjarakkan diri bagi menjaga jarak antara lelaki dan
perempuan.
“Ya dik.. Kenapa ya?”
Dia menundukkan kepala. Mencari sedikit kekuatan
untuk meneruskan pertanyaan.
“Tapi… mak ayah saya selalu tak solat.. masuk
neraka juga ke? Mak ayah saya orang baik…”
Ternampak butir kaca mengalir dari matanya.
Saya terdiam kelu seribu bahasa. Lidah seolah
diikat, perasaan saya seolah dilanggar taufan katrina. Bercampur baur antara
rasa sedih, kagum dan simpati.
Kelu kerana tidak sangka soalan begini akan
ditanya dan dalam masa yang sama saya kagum dengan sensitiviti seorang anak
yang baru berusia 14 tahun.
“Hmm..” saya mengusap janggut.
Disitu juga saya memberi tiga cadangan saya untuk
dia. Dia mendengar dengan teliti sambil tangannya ligat mencatit apa yang saya
cadangkan.
“Apa yang abang cakap tadi cuma pandangan abang
saja. Belum tentu berhasil. Kerana hidayah itu milik Allah. Kita usaha saja.”
Saya melirikkan senyuman.
Dia mengangguk.
“Oh ya lagi satu..” saya memanggilnya sebelum
masing-masing beredar.
“Andai ketiga-tiga perkara tu dah dibuat dan tak
berkesan, beritahu pada abang ya.”
Dia tersenyum sambil mengelap air mata.
“Terima kasih abang..”
Dia terus berlalu pergi ke dorm untuk tidur.
“Moga Fatin jadi anak yang solehah.” Doa saya
dalam hati.
................................
Fatin melihat jam, baru saja pukul 6 petang.
Sebentar lagi ibunya akan pulang ke rumah selepas balik kerja. Ayahnya juga
sama.
Tanpa membuang masa, dia terus meletakkan buku
“Soal Jawab Tentang Solat” yang baru dibelinya tadi di atas meja solek ibunya.
Dan sebuah lagi di atas meja rehat ayatnya.
Dia meletakkan dua buah buku tersebut dengan
harapan ibu dan ayahnya akan tergerak hati untuk membaca.
Fatin tersenyum puas. Moga rancangannya menjadi.
Dua hari selepas itu, dia melihat kedua-dua buku
yang dibeli untuk ibu dan ayahnya langsung tidak dibuka. Cuma buku itu
dialihkan saja untuk memberi ruang pada ibunya bersolek, dan ayahnya meletakkan
surat khabar.
Dia tertunduk sayu. Tetapi dia masih belum putus
asa. Masih ada pelan yang berikutnya.
Malam itu, sedang Fatin dan keluarganya sedang
berehat-rehat, tiba-tiba bunyi azan berkumandang.
“Eh, azan dari henfon siapa tu?” Ayah Fatin
bersuara.
Fatin tersenyum. ‘Umpan’ mengena.
“Haa, itu azan dari henfon Fatinlah ayah. Ha,
alang-alang dah azan, jom kita solat sama-sama ayah, ibu?” Fatin tersengih
sambil memeluk ibunya.
Ayah dan ibunya seperti tersentap.
“Emm.. Kau sembahyang la dulu Fatin. Ayah ada
kerja kejap..” Ayah Fatin meluru ke bilik.
Ibu Fatin memandang wajah anaknya. Kegelisahan
terserlah di wajahnya.
“Ibu tak masak lagi ni. Ibu nak pergi dapur ya..”
Ibu Fatin terus bangun dan meluru ke dapur.
Fatin duduk tercengang. Seolah tidak percaya
dengan apa yang berlaku. Hampir saja dia mahu menjerit menangis.
Air mata mengalir di pipinya. Dia gagahkan diri
untuk pergi ke bilik air untuk mengambil wuduk dan solat.
Demi mencari kekuatan yang hampir hilang bak
ditiup angin.
Usai solat, dia berdoa sungguh-sungguh agar ibu
dan ayahnya diberi hidayah oleh Allah.
Selepas doa, dia duduk termenung memandang
sejadah. Memikirkan bagaimana pelan ketiga hendak dijalankan.
Teringat kata-kata Abang Shukery mengenai pelan
yang ketiga,
“Yang ketiga adalah Fatin berterus terang dengan
ibu dan ayah. Tanya dari hati ke hati, kenapa ibu dan ayahnya tidak solat dan
tidak mahu bersolat bersamanya. Tetapi strategi ini agak risiko, kerana mungkin
akan melukakan hati mereka, atau paling tidak pun, mereka akan marah.
Tetapi bersabarlah. Allah bersama kamu.”
Ayat terakhir itu cukup membuatkan Fatin
bersemangat.
“Ya, Allah bersama aku. Aku akan usaha sebaik
mungkin!” pujuk hatinya.
------
“Lepas azan isyak nanti, aku akan ajak ibu dan
ayah solat lagi sekali. Kalau mereka bagi alasan, aku segera akan minta
penjelasan.” Fatin menguatkan azam.
Seperti biasa, mereka akan bersama sekeluarga
menonton televisyen.
Tidak lama kemudian, berkumandang azan dari
telefon Fatin.
Ibu dan ayahnya memandangnya. Muka mereka nampak
kegelisahan.
Fatin tersenyum. Lantas dia menyeru ibu dan
ayahnya sama seperti semalam.
“Ibu, ayah, jom solat sama-sama.” Fatin tersengih
memandang ibu dan ayahnya.
Ibu dan ayahnya memandang satu sama lain.
“Nantilah, lepas habis berita ni.” Ayahnya
memberikan kata tuntas.
Fatin tertunduk dan mengangguk.
Selepas habis berita jam 8 itu, sekali lagi dia
mengajak ibu dan ayahnya solat. Seperti biasa, ibu dan ayahnya memberikan
alasan.
Segera Fatin bersuara,
“Ayah… Ibu… Kenapa tak nak solat… Ustaz kita
cakap, siapa tak solat masuk neraka…” Fatin tunduk.
Ayah dan ibunya tersentap. Ayahnya berang kerana
egonya dicabar.
“Kau tu budak kecik lagi, tak payah nak ajar mak
ayah kau yang dah lama makan garam dari kau. Cakap dengan ustaz kau tu, jaga
anak dia lagi bagus.”
Ayahnya mula marah. Ibunya pula mendiamkan diri.
Fatin tidak dapat menahan air mata yang mengalir.
Dia terus bangun dan berlari menuju ke bilik. Dikunci biliknya.
Hatinya meronta. Dia keliru dan celaru kenapa dia
dimarahi sedangkan dia mengajak kepada perkara yang baik.
“Apa salah Fatin. Fatin tak faham. Salahkan Fatin
mengajak ibu dan ayah untuk solat? Salahkah Fatin beritahu bahawa meninggalkan
solat dengan sengaja akan masuk neraka?
Fatin tak mahu ibu dan ayah masuk neraka..” Dia
bercakap sendirian sambil mengalir deras air mata membasahi bantalnya.
Dia menangis dan terus menangi sampai akhirnya
tertidur.
Fatin tersedar dari tidurnya. Dia melihat jam
menunjukkan sudah pukul 2.30 pagi.
“Lama juga aku tertidur.” Bisik hatinya.
Dia teringat pesanan Abang Shukery supaya
memberitahunya jika ketiga-tiga pelan itu dah dilakukan.
Lantas dia mencapai henfonnya dan mesej Shukery
tentang apa yang berlaku.
Usai mesej, dia terus keluar dari bilik menuju ke
bilik air untuk mengambil wuduk.
Usai mengambil wuduk, dia melihat henfonnya
terdapat 1 SMS. Terkejut Fatin melihat Shukery membalas mesejnya pada waktu
sebegini.
“Tak tidur lagi rupanya.” Bisik hatinya. Dia
membaca mesej tersebut.
“Waalaikumussalam. Ooh yeke, abang tumpang simpati
apa yang berlaku.
Sebenarnya ada satu pelan yang terakhir abang tak beritahu.
Iaitu doa. Nanti lepas ini solat tahajud dan doa sungguh-sungguh pada Allah.
Bukan hanya malam ini saja, istiqomah untuk hari-hari berdoa ya. Moga mereka
diberi hidayah.”
Fatin tersenyum.
Ya doa.
Malam itu usai saja dia solat isyak dan solat
tahajud serta solat hajat, dia duduk termenung seketika. Mengambil nafas, lalu
menadah tangan menghadap kiblat.
Malam itu Fatin berdoa sungguh-sungguh kepada
Allah hingga mengalir deras air mata dipipinya. Dikuatkan sedikit bacaan doa
agar dia benar-benar menghayati doa itu.
“Ya Allah… Ibu dan ayah orangnya baik. Dia sayang
pada Fatin. Dia jaga Fatin betul-betul sampai Fatin besar. Cuma… Ibu dan ayah
tak solat je.
Ya Allah.. Fatin sayang ibu dan ayah. Ustaz kata
kat sekolah, dengan abang fasi cakap, orang tak solat masuk neraka. Nanti kena
seksa kat sana..
Ya Allah.. Fatin tak nak ibu dan ayah masuk
neraka. Fatin tak nak ibu dan ayah kena seksa. Fatin tak nak ya Allah. Fatin
sayang mereka..
Ya Allah.. Ustaz kata Allah maha mendengar. Allah
dengar doa hambaNya. Abang fasi kata doa adalah senjata umat Islam.. Ya Allah..
berilah hidayah pada ibu dan ayah Fatin..
Supaya mereka jaga solat.. Dan solat sama-sama
dengan Fatin…”
Fatin menadah tangan tinggi. Meminta pada yang
Maha Tinggi dengan sungguh-sungguh.
Tiba-tiba, Fatin tersentak apabila ada air mata
yang jatuh menitik pada kedua tapak tangannya yang sedang menadah tangan
berdoa.
Dia memandang ke atas. Terkejut melihat ibu dan
ayah di belakangnya menangis. Ibunya segera memeluk Fatin. Dan kemudian ayahnya
pula memeluknya.
“Fatin… ayah minta maaf sebab ayah marah Fatin
tadi. Ayah dan ibu pun sayang Fatin. Ayah dan ibu tak nak masuk neraka.”
Teresak-esak ayahnya menangis.
Fatin tersenyum gembira. Syukur pada-Nya kerana
hidayah-Nya datang tanpa disangka-sangka. Dia memeluk semula kedua ibu dan
ayahnya.
“Ya Allah.. kumpulkan kami dalam syurga Mu ya
Allah…” Fatin berdoa dalam hati.
-Tamat -
1 ulasan:
Catat Ulasan