Jumaat, Ogos 24, 2012

Maimunah binti al-Harith: Suaminya Meminta Izin


Maimunah binti al-Harith: Suaminya Meminta Izin
Profil
·         Maimunah binti al-Harith al-Hilaliyah al-Amiriyyah
·         Saudara perempuannya ialah Ummul Fadhl binti al-Harith, isteri al-Abbas, bapa saudara Rasulullah SAW.
·         Ibu saudara kepada Ibnu Abbas (pakar tafsir) dan Khalid al-Walid (pedang Allah).
·         Suami pertamanya ialah Mas’ud bin ‘Amr al-Tsaqafi yang kemudian menceraikannya kerana cinta Maimunah kepada golongan Muslimin.
·         Suami keduanya ialah Abu Ruhm bin Abdul ‘Uzza, bercerai mati.
·         Beliau adalah isteri Nabi yang terakhir. Selepas beliau, Allah melarang Nabi menambah lagi isteri.
·         Bernikah dengan Rasulullah SAW pada tahun 7 hijrah dan empat tahun menjadi isteri baginda. 
·         Termasuk di kalangan tokoh wanita yang meriwayatkan sejumlah hadis. Antara orang yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah Ibnu Abbas, Abdullah bin Syaddad bin al-Haad, Ubaidullah bin As-Sabbaq, Abdurrahman bin As-Saib al-Hilali dan Yazid al-Asham, Kuraib, Sulaiman bin Yasar, Atha’ bin Yasar dan lain-lain (Siyar a’laam an-Nubalaa’).      
·         Meninggal pada tahun 51 hijriah di daerah Saraf, tempat malam pertamanya dengan Rasulullah SAW.
Menghadiahkan diri Buat Rasulullah
            Rasulullah SAW dan para sahabat datang ke Makkah untuk melaksanakan umrah. Rentetannya, meletuslah peristiwa Hudaibiyah. Sebelum pulang ke Madinah, terjadilah pernikahan yang penuh barakah antara Rasulullah SAW dengan Maimunah.
Beberapa ulama termasuk al-Zuhri menyatakan bahawa Maimunah binti al-Harith termasuk wanita yang menghadiahkan dirinya kepada Rasulullah SAW.  Ada perbezaan pendapat dalam isu ini. Yang jelas, memang ramai gadis dan janda yang menawarkan diri kepada Nabi. Namun semua ditolak baginda kecuali seorang janda. Itupun atas kepentingan agama.
Apa yang pasti, sekalipun benar Maimunah menghadiahkan dirinya  kepada Rasulullah SAW, beliau tidak memilih cara menggoda atau mengurat. Beliau melakukannya secara terhormat. Meninggikan martabat malu seorang wanita. Hinggakan, jika dikaji kisah pernikahan ini lebih mendalam, seakan-akan Rasulullah SAW sendiri yang memulakan lamaran ini.
Saat Akad Terlafaz
Kisahnya begini. Menjelang masuk ke Makkah, Rasulullah SAW  mendengar perihal sekuntum mawar agama bernama Maimunah.  Bukan tentang kecantikannya atau kekayaannya tapi tentang kecintaannya kepada Allah dan Rasul.
Dalam peristiwa Hudaibiyah tersebut, Maimunah berani mengisytiharkan ke-Islamannya secara terang-terangan. Hal ini mempengaruhi ramai penduduk Makkah yang lain.
Sebagai pemimpin berwawasan jauh, Rasulullah SAW dapat menjangkau satu strategi demi kepentingan ummah.  Apa lagi? Menikahi wanita hebat lagi berpotensi ini.
Tiada motif menjamu nafsu. Tiada kecurangan. Tiada hubungan cinta sebelum bernikah. Tiada berutus-utus surat ( sms atau e-mail). Baginda bernikah lagi bukan kerana tidak tahan menahan nafsu atau takut berzina. Jauh sekali memberi tindakan ‘padan muka’ kepada isteri sedia ada. Baginda tulus ingin melindungi dan menafkahi janda yang berpotensi besar memberi manfaat buat ummah.
Baginda mengutuskan Ja’far bin Abu Talib untuk menemui Maimunah. Maimunah mewakilkan dirinya dengan adik iparnya iaitu Abbas. Abbas menikahkah Maimunah dengan Rasulullah SAW.
Ketika keluar dari Makkah, Rasulullah SAW menugaskan Abu Rafi’ untuk membawa Maimunah kepadanya. Maka, baginda menghabiskan malam pertamanya dengan Maimunah di daerah Saraf. (Zaadul Maa’d, vol. 2, hlm. 152. Riwayat Bukhari, no. 1837 dan Muslim, no. 1410).
Yazid bin al-Asham berkata, “Rasulullah SAW meminang Maimunah ketika baginda dalam keadaan halal (tidak berihram) dan memulai malam pertamanya dalam keadaan halal juga.” (HR Muslim).
Pujian Buat Maimunah       
Rasulullah SAW bersabda, “Ada  4 perempuan bersaudara iaitu Maimunah, Ummu Fadl, Salma dan Asma’ binti Umais (adik seibu), mereka adalah wanita-wanita yang beriman.” (HR Nasa’i dan Hakim).
Aisyah r.ha berkata selepas wafatnya Maimunah, “Maimunah adalah wanita bertakwa dan paling kuat menjaga silaturahim antara kami.”
Maimunah tegas menjaga hukum Allah SWT. Suatu ketika beliau didatangi oleh salah seorang kerabatnya. Beliau tercium bau arak di mulutnya. Dengan tegas, beliau berkata,
“Jika engkau tidak mengakui kesalahanmu kepada kaum muslimin hingga mereka menyebatmu, maka jangan pernah menemuiku lagi.” (Riwayat Ibnu Sa’ad).
Izinkan Suami ke Sisi Buah Hatinya
            Menjelang kewafatan, Rasulullah SAW mulai berasa sakit ketika sedang berada di rumah Maimunah r.ha. Baginda meminta izin kepada Maimunah dan para isteri baginda yang lain agar dapat menjalani masa rawatan di rumah Aisyah r.ha.
Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah menyatakan bahawa Aisyah r.ha berkata, “Ketika Rasulullah SAW merasa semakin berat dan penyakitnya bertambah parah, baginda meminta izin kepada seluruh isterinya untuk menjalani rawatan di rumahku. Merekapun mengizinkannya.” (Riwayat Bukhari.)
Begitulah tawadhuknya hati seorang suami bergelar Nabi. Baginda berkerja keras melaksanakan keadilan. Baginda tidak mengambil mudah. Baginda tidak mencuaikan hak. Baginda menghormati hati dan perasaan orang lain.
Itulah rahsia baginda reda kepada semua isterinya dan dalam masa yang sama, semua isterinya reda kepada baginda. Persoalannya, masih adakah suami yang menganggap meminta izin isteri itu suatu kehinaan?
Mengubati Suami
Sakit Rasulullah SAW bertambah parah hingga baginda pernah pengsan. Isteri-isteri baginda sepakat menggunakan pengubatan al-Ladd(memberi minuman dari sisi salah satu bibir). Ketika sedar, baginda bertanya,
“Apa ini?”
Mereka menjawab,
“Ini cara pengubatan yang digunakan oleh wanita-wanita dari daerah itu (sambil menunjuk arah negeri Habasyah).” Saat itu Asma’ binti Umais ada di situ.
Mereka berkata lagi, “Wahai Rasulullah, tadinya kami mengira tuan terkena penyakit dzaatul janb (sakit paru-paru, batuk, demam dan sebagainya).”
Rasulullah SAW bersabda, “Itu penyakit. Allah tidak memberiku penyakit seperti itu. Semua keluargaku harus diubati dengan cara al-Ladd, kecuali bapa saudara Rasulullah SAW (Abbas).”
Asma’ berkata, “Maimunah pernah diubati dengan cara al-Ladd, padahal dia sedang berpuasa kerana pesan yang tegas daripada Rasulullah SAW itu.” (Riwayat Ahmad).
Saatnya Berpisah
Sepeninggalan suaminya, beliau sibuk bercinta dengan Allah melalui solat malam, berpuasa dan membaca al-Quran.
Maimunah melewati masa pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin sehingga pemerintahan Mua’wiyah. Beliau sangat dihormati dan dimuliakan sesuai dengan statusnya sebagai isteri Nabi.
Menjelang kematiannya, Maimunah r.ha. teringat suatu kata-kata Rasulullah SAW. Yazid bin al-Asham berkata,
“Maimunah, isteri Nabi SAW, merasakan sakitnya semakin parah ketika berada di Makkah. Saat itu, tidak ada seorangpun dari anak-anak saudara lelakinya yang hadir. Dia berkata,
‘Bawalah saya keluar dari Makkah, kerana Rasulullah SAW pernah berkata  bahawa saya tidak akan meninggal di Makkah.’
Maka beliau dibawa ke daerah Saraf, dekat sebuah pohon yang menjadi saksi malam pertamanya dengan Rasulullah SAW, kerana baginda membangunkan khemah di bawahnya. Di tempat itulah Maimunah menghembuskan nafas terakhirnya.

Tiada ulasan: