Sabtu, Disember 07, 2013

Titipan buat adik-adik SEPINTAR

Bismillahirrahmanirrahiim

Serasa sudah lama hati ini merindui.
Rindu pada bau tanah yang tertabur bunga-bunga tarbiyyah.
Rindu pada angin yang terbias zarah-zarah sakinah
Rindu pada dinding-dinding bisu yang menjadi saksi seribu satu ragam kita
Rindu pada insan-insan di 'penjara' terindah itu
Adik-adik yang akak rindui
Detik-detik bersama kalian adalah detik yang sukar terpadam dalam ingatan
Sederet episod  yang banyak memberi erti pada diri

Adikku
Hidup disana bukanlah sentiasa indah dan senang.
Kerana itulah namanya perjuangan
Kau tidak sentiasa menang
Kau terkadang lelah, terkadang rebah
Tapi tidakkah kau lihat pada garis-garis awan
Yang menguntum senyum pada setiap keluhanmu
Tidakkah kau lihat pada sinaran bintang-bintang
Yang terus bersinar indah pada setiap tangisanmu

Jangan adikku.
Jangan kau rasa ditertawakan mereka atas apa yang menimpamu
Tetapi yang harus kau ingat
Adalah keindahan yang tersembunyi disebaliknya
Ada secoret ingatan dan tarbiyyah dari yang Maha Esa
Khusus untukmu

Teruskanlah adikku
Teruslah kau taburi debu-debu permukaan bumi itu dengan harum tarbiyyah
Teruslah kau biaskan cahaya cinta pada Illah
Teruslah suburi taman-taman ilmu itu dengan akhlak islamiyyah
Teruslah kau kukuhkan ukhuwwah antara kalian
Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara

Kepada generasi LOX
Selamat datang ke alam pasca jeriji terindah SEPINTAR
Selamat datang ke alam yang penuh ujian
Semoga antara kita tidak ada yang terkandas dalam medan praktikal
Medan yang mana Islam itu akan diuji secara hands-on
Kini, pengisian rohani secara realitinya tidak lagi semudah di sana
Jika kau mahukan hati yang tidak kosong
Maka isilah dengan ilmu-ilmu yang selepas ini kau perlu cari dan gali
dengan inisiatif sendiri
Kini, tiada lagi BI'AH SOLEHAH yang memagari
cuma tinggal HIDAYAH yang melindungi
Maka marilah kita saling mendoakan

Untuk adik-adik SUPERB
Selamat mentadbir adik-adik dengan penuh amanah
Ingatlah tanggungjawab sebagai abang-abang dan kakak-kakak
Pada dirimu akan tersemat nametag 'Qudwah'
Engkau bakal diperhatikan dan dinilai oleh adik-adikmu
Mahukah engkau tinggalkan sebaris nama SUPERB yang tak bermakna?
Atau kau bangunkan satu legasi yang namanya takkan dilupa
Pilihan kini ada dalam halaqah hati-hati kalian
Wala' ( patuh )lah pada pimpinan
Dan akurlah pada keputusan yang di SYURA kan
Bersatu hatilah membangunkan jiwa-jiwa insan

Buat penerus perjuangan BADAR
Bekerjalah anda kerana Allah
Selalu sahaja nanti usahamu dianggap remeh dan picisan
Perjuangan mungkin terhalang dek tohmahan
Walau apapun inilah medan kita rakus mencari pahala
Hatimu akan menjadi besar, jiwamu bakal jadi hebat
Jika benar Islam yang kau perjuangkan
Rancanglah pembangunan jiwa-jiwa insan
Keluarlah dari kelompok jumud mahupun liberal
Perkasakan majlis-majlis Ilmu
Dekatilah mad'u (orang yg didakwah) dengan penuh kelembutan
Jadikan Al-Qudisiah itu sarang buat perindu-perindu Al-Jannah

Moga-moga titipan ini jadi bukti
Kerinduan kami yang tidak pernah sunyi

Salam ingatan dari kakakmu,
NB (ELVES 0812)
3 Safar 1435 Hijrah