Khamis, Januari 27, 2011

Surat, Faham dan Cinta.....


“ Din,ada surat untuk kau,ni!”, jerit Sufi kepada kawan baiknya itu. “ Dari siapa sheikh ? “ tanya Izzudin.“ Ntah la,tapi surat ni dalam bahasa arab.” Izzudin menerpa Sufi lalu terus diambilnya surat itu dari tangan Sufi. “ Mak oi !,panjangnya surat ni,tak larat aku nak baca,dah la dalam bahasa arab,kalau dalam bahasa melayu boleh la nak baca.” rungut Izzudin.
“Nak aku tolong bacakan dan terjemahkan untuk kau tak? “ tanya Sufi yang mahir dalam bahasa arab yang pernah dipelajarinya ketika menuntut di Nilam Puri dahulu. “ Tak pa la,nampak macam surat main-main je ni,lagipun aku malas nak baca panjang sangat,esok-esok la.Kau ingat aku tak faham ke bahasa arab ni,kacang je!!” Izzudin menyimpan surat misteri itu dalam almarinya.Tidak ada langsung dalam benak hatinya untuk cuba membaca dan memahami surat itu.

Hari demi hari,malam berganti siang, siang berganti malam.Genaplah sebulan selepas surat itu dihantar ke rumahnya.Akhirnya mula terdetik dalam hatinya untuk mengetahui isi kandungan surat yang diterima sebulan yang lalu.Terdetik dalam hati kecilnya bibit penyesalan kerana tidak mampu memahami bahasa arab,walaupun dulunya dia pernah menuntut di Nilam Puri,mempelajari bahasa arab.Maklumlah dah lima tahun meninggalkan bahasa arab,malah dulupun dia hanya menghafal semata-mata apa yang disampaikan oleh ustaz-ustaz tanpa memahaminya dan hanya membuka buku apabila tibanya waktu peperiksaan.

Izzudin merasakan ada sesuatu yang penting dalam surat yang ditulis dengan tulisan tangan yang memenuhi tiga muka surat kertas A4 itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk bertanya kepada Sufi tentang isi kandungan surat tersebut.Walaupun pada mulanya dia merasa agak malu untuk bertanya kawannya itu,akhirnya dia pasrah kerana memikirkan hatinya yang sering bergoncang untuk memahami surat tersebut.
“ Ya Allah, Din surat ni dari Atikah,muslimat yang kau tergila-gilakan sangat time kat Nilam Puri dulu.” “ Dia kata apa syeikh ? “ tanya Izzudin kepada Sufi. “ Dia nak kahwin dengan kau,dia kata dia nak jadikan kau sebagai suami dia,emmm.. qadarullahi wa ma syaa fa`al [1]tapi kau dah terlambat Din,aku baru dengar dia dah kahwin dengan Syeikh Hatikullah.” tambah Sufi lagi. Mendengar kata-kata sufi itu mengalirlah air mata Izzudin penuh penyesalan.
Kisah ini sekali baca mungkin mengarut kalau nak difikirkan,tapi penulis cuba nak bawakan perumpamaan yang banyak dari kisah ini.



Perumpamaan Pertama


Surat yang dihantar kepada Izzudin sebenarnya adalah perumpamaan al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada hambaNya.Mengandungi berita gembira[2],janji,ancaman [3]dan juga harapan yang akan merubah keadaan seseorang daripada kesesatan kepada cahaya,kejahilan kepada ilmu,kesusahan kepada ketenangan dan kemudahan,kegagalan kepada kejayaan.Namun apabila hambaNya tidak memahami bahasa yang digunakan oleh Allah jalla wa`alla,mana mungkin dia mampu memahami apa yang diberitakan dalam al-Quran,malah orang yang membaca sesuatu tetapi tidak memahami apa yang dibacanya ibarat orang yang tidak bijak kerana dia tidak boleh memanfaatkan apa yang dibacanya itu.Begitu juga hadith-hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam dalam bahasa arab.
Allah berfirman:



حم (1) تَنْزِيلٌ مِنَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (2) كِتَابٌ فُصِّلَتْ آَيَاتُهُ قُرْآَنًا عَرَبِيًّا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (3) بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ (4) وَقَالُوا قُلُوبُنَا فِي أَكِنَّةٍ مِمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ وَفِي آَذَانِنَا وَقْرٌ وَمِنْ بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ فَاعْمَلْ إِنَّنَا عَامِلُونَ (5



Haa Miim.

Diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui,

yang membawa berita gembira dan yang membawa peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling (daripadanya); maka mereka tidak (mahu) mendengarkan.

Mereka berkata: "Hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kamu seru kami kepadanya dan di telinga kami ada sumbatan dan antara kami dan kamu ada dinding, maka beramallah kamu(dengan cara kamu); sesungguhnya kami juga beramal( mengikut cara kami)"
[4]



Realiti di mana-mana,penuntut ilmu agama[5] lebih suka menyedapkan diri dengan lagu-lagu ciptaan manusia yang lemah,lebih mentadabburinya ,tapi apabila dibacakan al-Quran kepada mereka mereka tidak merasa apa-apa jadilah di antara mereka dengan al-Quran hijab[6](penutup) yang menghalang mereka menerima kebenaran,menghalang dari mengingati Allah,ketaatan terhadapNya, melakukan kewajiban syariat [7]Apabila diingatkan dengan al-Quran tidak langsung mereka merasa apa-apa,Apabila hujjah al-Quran dan hadith yang sahih datang di hadapan mereka, mereka lebih redha dengan kesesatan berbanding petunjuk, menukarkan keimanan dengan kekufuran, menjual kepentiingan akhirat dengan kepentingan dunia yang tidak bernilai[8] ,mereka masih keberatan untuk meninggalkan hawa nafsu, kepentingan diri, adat resam nenek moyang, takut dituduh wahhabi, pemecah belah, ekstrimis, fundamentalis dan sebagainya.Di sisi mereka al-Quran hanyalah untuk dipertandingkan setahun sekali,dipersembahkan ketika majlis-majlis rasmi,dibacakan hanya pada waktu-waktu kematian.



Mereka juga mempelajari bahasa arab,tapi tujuan mereka hanyalah untuk mendapat gelaran sarjana, untuk mendapat habuan dunia semata-mata, untuk berbangga-bangga,mereka terlupa tujuan sebenar mempelajari bahasa arab adalah untuk memahami kalam Allah dan juga perkataan Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam,mereka tenggelam dalam perangkap iblis yang menjauhkan mereka dari al-Quran[9].Meraka hebat meng`irab kalimah-kalimah demi kalimah tapi mereka masih tidak memahami kehendak Allah dan rasulNya.Kebijaksanaan ini dilihat melampaui batas apabila ada yang condong kepada kesesatan dengan mentakwil sifat-sifat Allah untuk mencari fitnah[10] yang tidak pernah ditakwil oleh utusan rasmiNya,Muhammad sallallahu`alaihiwasallam dan para sahabat radiallahu`anhum.


Perumpamaan Kedua


Apabila kita mahu menyintai seseorang maka sudah pastilah kita perlu mengenali peribadi,sifat-sifat dan perkara yang disukai olehnya dan yang dibenci olehnya.Kelalaian seseorang daripada mengenali Tuhannya adalah satu kerugian yang paling besar.Justeru ramai penuntut agama yang apabila ditanya tentang Allah dan sifat-sifatNya mereka tidak mengetahuinya dengan sebenar-benar pengetahuan berdasarkan apa yang diberitakan sendiri oleh Allah tentang diriNya dalam al-QuranNya dan juga apa yang disampaikan kepada Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam.Hal ini disebabkan sikap mereka yang jauh dari mentadabburi ayat-ayat al-Quran.Mereka lebih suka menyibukkan diri mengenali perkara-perkara yang tidak dituntut mereka mengetahuinya terlebih dahulu berbanding mengenal Allah,mengenal perkara yang dibenci olehNya,yang dicintaiNya dan batasan-batasanNya,tentang rasulNya dan perjalanan hidupnya dan para sahabatnya.Jadilah mereka hebat berbicara tentang daulah islamiyah,perjuangan,mehnah dan tribulasi sedangkan apabila ditanya tentang Allah,maka mereka akan menggunakan jawapan-jawapan yang tidak berdasarkan pengetahuan sebenar berdasarkan al-Quran,sunnah dan juga kefahaman para sahabat dan salaf-al soleh,malah boleh jadi mereka terjerumus kedalam lembah kesyirikan dan bid`ah dan mungkin mereka akan menerima dan mengiktiraf jawapan-jawapan berkaitan Allah yang keluar dari kaum muktazilah[11],syiah[12],khawarij[13], dan wahdatul wujud.[14]



Maka diri yang hina ini menyeru agar marilah kita kembali kepada Kitab Allah dan sunnah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam.

(dipetik daripada :Abu Ayyub Muhammad Fashan b.Ahmad Ziadi, APIUM, Nilam Puri, Kelantan)






[1] Riwayat Muslim ,ucapan apabila ditimpa sesuatu yang tidak disukai.
[2] ,Yunus [10]:64
[3] Thaha [20]: 113
[4] Fusshilat [41]: 1-5 ,Berkenaan ayat ini penulis syorkan merujuk Tafsir al-Quran al-`Azhim,Ibnu Kathir untuk mengetahui sabab nuzulnya.
[5] Penulis menujukan risalah ini kepada sesiapa sahaja yang bergelar penuntut agama@ ustaz-ustaz
[6] Tafsir al-Quran al-`Azhim,Ibnu Kathir : 2/447,Dar at-Thaibah , CD ROM Maktabah Syamilah cet; 2

[7] Tahrim alat at-Thorb,Muhammad Nasiruddin al-Albani : ms 142 Dar ad-Dalil, CD ROM Maktabah Syamilah cet; 2
[8] Taisir al-Karim ar-Rahman fi tafsir Kalam al-Manaan, Abd Rahman ibn Naasir ibn Sa`di : 1/744, CD ROM Maktabah Syamilah cet; 2
[9] Penulis syorkan agar membaca “ Talbis Iblis” karya Ibnu Jauzi
[10] Ali Imraan [3]:7
[11] Golongan yang meletakkan sumber akal melebihi wahyu dalam memahami akidah Islam. Rujuk juga Manhaj Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah,Ismail bin Omar m/s 445
[12] Golongan yang melampau-lampau terhadap ahl-Bait,dan juga menyebarkan bid`ah,khurafat,dan syirik,mengkafirkan para sahabat,menuduh al-Quran diselewengkan oleh para sahabat.
[13] Golongan yang mengkafirkan ahli kiblat
[14] Golongan yang menyatakan Allah bersatu dengan hamba atau apa disebut “ ittihad” atau “al-hulul”.Pemikiran ini banyak diterima oleh tarikat-tarikat tasauf yang menyeleweng.

Tiada ulasan: