Ahad, Februari 26, 2012

Palestin Terus Berdarah


Palestin Terus Berdarah?
Sahut Seruah Jihad!
Dalam jihad ada bekalan...
Puteri-puteri Islam sejati!
Srikandi Iman Harapan!
Tangan kalian gagah menggegar dunia!
Wahai seluruh puteri Islam yang ibu kasihi kerana Allah;
Sama-sama kita tumpukan seluruh harapan beserta pergantungan kepada Allah yang tiada Tuhan selain Dia. Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. Yang maha mengampuni dosa dan menerima taubat lagi sangat keras hukumanNya. Hanya kepadaNya kembali semua makhluk.
Selawat dan salam khusus buat arRasul Muhammad s.a.w, para sahabat awwal juga seisi keluarga baginda. Juga seluruh pendokong dan pencinta deen Islam sehingga akhir zaman. Semestinya kita berusaha menyertai rantaian ini sehingga kita dipanggil kembali dalam kedhaan Allah.
Puteri-puteri Harapan!
Sedang kita maklum seluruh dunia digegar satu isu besar! Berlaku penganiayaan besar terhadap jiwa-jiwa yang lemah dan tidak berdosa. Fitrah insan dan sifat keperimanusian sedang tercabar!. Gaza digempur... darah melimpah di bumi Palestin! Api kemarahan umat Islam seluruh dunia meluap dan menyala... Bara perjuangan yang sudah lama terpendam seperti dihembus semanagt jihad... dan mulai marak kembali. Ini satu hakikat yang Allah anugerahkan pada hati-hati yang beriman. Iman itu sendiri mempunyai nyawa yang terpendam. Ia akan bangun dan bertindak apabila terdesak.
Puteri-puteri Islam yang semestinya menggegar dunia!
Hayati setiap patah dari senikata nasyid berikut;
Titisan Darah
(dari album Sinaran Azhar)
Prolog
Ia merintih pilu
Menyaksikan seribu kekejaman
Oleh tangan-tangan durhaka
Tanpa rasa kemanusiaan
Darah yang tumpah
Kematian yang mengerikan
Hanya ditemani airmata
Tanpa apa-apa
Kekejaman itu di sini
Di bumi Palestin
Oleh tangan-tangan durhaka Yahudi
Itulah ratapan dan kepiluan berkumandang
Kematian bermaharajalela.
Titisan darah
Mengalir sayu
Membasah bumi
Mengukir tarikh
Peluru ganas
Mengoyak tubuh
Mencarik daging menembus tulang.
Tangisan bayi dan yatim piatu
Menyayat pilukan hati kami
Ratapan isteri mengiringi
Suami menempah syahid di medan
    
Mayat bergelimpangan beribu
Bermandi darah tanpa pembelaan
Begitulah airmata
Lantaran menangisi
Nasib dan takdir.
Hai pengkhianat
Ummah yang menyembah diri kepada Yahudi
Mengapa leher kamu serahkan
Kepada musuh yang durjana
Dada kami telah dikoyakkan
Lantaran pembelotan jahatmu
Manakah keadilan sejati
Yang menuntut kezaliman kamu.
Di manakah seruan kebebasan sejagat
Yang dilaungkan
Di manakah hak asasi manusia
Yang telah dimetrikan.
Apakah erti tamaddun 
Yang menghisap darah saudara kami
Manakah kebebasan diri
Yang kamu janjikan kepada kami.
Hai durjana
Mengapa bumi suci kami
Yang kamu jajahi
Mengapa kamu sanggup membunuh 
Jiwa insan yang tiada berdosa.

Apakah penyembelihan dan keganasan
Kemanisan bagimu
Namun kami akan terus
Memperjuangkan cita-cita yang murni.
Hai saudara seagama
Janganlah kami, kamu lupai
Marilah bersama kami
Menghayati kemanisan jihad ini.
Marilah memikul senjata
Mempertahankan kedaulatan Islam
Hapuskan belenggu penjajahan
Agar dapat kemenangan sejati.
Begitulah puteri-puteriku; 
Semua yang digambarkan bukan baru saja berlaku, malah itulah yang terus berlaku setelah sekian lama. Sudah puluhan tahun berulang-ulang, tanpa penyelesaian. Generasi demi generasi rakyat Palestin menjalani hidup dalam kesengsaraan... Sedang kita di sini juga di merata pelusuk bumi Allah yang aman menikmati kesejahteraan dan kemewahan.
Tidakkah kita merasai kita juga sedang diuji? 
Hakikat hidup ini, susah maupun senang adalah ujian bertepatan dengan maksud firman Allah;
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.(QS Al-Mulk:2)
Mereka yang terancam dan tertindas, melaung-laung meminta pembelaan...
Kita yang bebas bergembira sepatutnya melaung-laung menyeru kebenaran juga mematahkan kemungkaran yang mengganas dan zalim! 
Bagaimana kekuatan iman kita? Semak dan laraskan matlamat hidup kita, semata-mata untuk meraih redha Allah. Sekiranya benar begitu, semestinya kita di landasan kebenaran…
 
Renung dan fahami maksud firman Allah dalam surah Al-Anfaal, ayat 60;
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka, kekuatan apa saja yang kamu sanggupi, yang dengan persiapan itu kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang yang selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya”.
Kekuatan yang dimaksudkan bukanlah hanya kekuatan senjata, malahan yang utama adalah kekuatan aqidah, kekuatan iman, kekuatan ilmu, kekuatan ekonomi dan harta juga yang terpenting kekuatan kesatuan hati sesama Muslim. Melengkapkan setiap diri muslim mukmin dengan semua kekuatan tersebut bererti kita juga mengumpul bekalan untuk digunakan sepanjang hayat. Dengan ini, secara langsung kita mempersiapkan bekalan jihad. Jihad itu sendiri merupakan satu sumber bekalan yang penting sepanjang hayat. Dengannya setiap muslim hidup di dalam keadaan sentiasa bersiap sedia mematuhi perintah dan arahan. Jihad mengangkat barisan mujahid kepada satu darjat yang tinggi. Mengangkat dari segala bentuk kelemahan, kedukacitaan, kemalasan dan berbagai tipu daya dunia serta desakan nafsu.
Semangat jihad yang diterapkan kepada setiap muslim akan membentuk disiplin yang tinggi, antaranya:
  1. Bersegera tanpa ragu-ragu menyahut perintah menegakkan kebenaran serta mematahkan kebatilan. Serentak dengan menghindari rasa gentar menghadapi sebarang halangan dan rintangan.
  2. Memiliki niat yang bersih dan ikhlas semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah  dalam menegakkan kalimah kebenaran Islam.
  3. Rela berkorban tenaga dan jiwa raga untuk menegakkan kebenaran agama Allah demi kebahagian hidup insan dan kemakmuran alam.
  4. Bersungguh-sungguh menepis bisikan syaitan dan desakan nafsu yang cuba menghalangi seruan jihad. Sentiasa menguatkan azam dengan meletakkan setinggi-tinggi tawakkal kepada Allah.
  5. Sentiasa merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran yang menekankan tuntutan jihad serta janji-janji syurga Allah di akhirat kelak. Juga sentiasa berdoa memohon pertolongan serta kekuatan dari Allah.
  6. Sentiasa memohon keampunan dari Allah terhadap apa jua dosa, serta memelihara diri dari melakukan sebarang maksiat. Dosa dan maksiat akan menghalangi golongan pejuang dari beroleh kemenangan.
  7. Kesanggupan menyahut seruan jihad menjadi bukti ukhwah dan kasih sayang yang tinggi terhadap sesama saudara muslim tanpa mengira suku bangsa dan warna kulit.

Puteri-puteri Islam Sejati! 
Sentiasalah meyakini, sesungguhnya syarat kemenangan yang utama bagi pejuang agama Allah adalah dengan meletakkan seluruh agenda hidup semata menegakkan kebenaran. Juga menghadapi kematian dalam keadaan memperjuangkan kebenaran. Seandainya demikian prinsip hidup kita, Allah akan melontarkan rasa gerun, takut dan gentar ke dalam hati musuh-musuh Islam. Dengan itu mereka memandang hebat dan gentar menentang barisan pejuang Islam. Sejarah perjuangan telah membuktikan, angkatan yang kecil dapat mengalahkan angkatan yang besar dengan izin Allah.
Perhatikan dengan teliti kata-kata seorang pejuang Islam;
“Sesungguhnya zaman akan melahirkan peristiwa yang besar dan peluang akan terbuka untuk membuat kerja yang besar!. Sesungguhnya dunia menunggu seruan kebenaran dari kamu supaya membebaskan bumi ini dari segala penderitaan yang mencengkam. Kini tiba giliran kamu memimpin dan membimbing tangan manusia. Dan hari-hari kemenangan itu akan diberi mengikut kesungguhan masing-masing dari kamu. Oleh itu bersedialah dan bekerjalah sekarang kerana dengan bertangguh-tangguh ke hari esok hanya akan melemahkan kamu”.
Justru itu puteri-puteri harapan, setiap seorang dari kita mempunyai keupayaan dan peranan masing-masing dalam meniupkan semangat pejuangan demi tertegaknya kebenaran hakiki dan tertunainya hak asasi setiap manusia di bumi milik mereka. Dari kejauhan ini kita pohonkan hidayah Allah semoga kita tidak terkecuali dari barisan yang berjuang…
“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seperti mereka satu bangunan yang tersusun kukuh”.(QS As-Saaf:4)
Sama-sama kita tangguhkan dengan doa;
“Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban seruanMu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulatkan dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepadaMu. Jika ditakdirkan kematian, matikan pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMu.Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini”.
Wassalam.
Ummu Anas.
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian.

Jumaat, Februari 24, 2012

Enam Golongan Yang Sukar Menerima Dakwah

"...(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)." - Surah Al Baqarah: Ayat 255

Banyak buku-buku yang menerangkan tentang metod berdakwah, ciri-ciri pendakwah, mendekati orang yang ingin didakwahkan dan sebagainya. Akan tetapi, penulisan mengenai siapakah orang paling sukar menerima dakwah adalah sangat kurang.

Contohnya, apabila ditanya kepada beberapa orang Islam, apakah isi khutbah jumaat (selepas solat jumaat), mereka tidak ingat malah ada yang tertidur. Ditanya pula apakah isi ceramah, tazkirah dan seumpamanya pada beberapa orang selepas tamat sesi tersebut, jawapan mereka lebih kurang sama. Perkara ini berlaku pada kebanyakan orang, anda boleh bertanya kepada diri sendiri dan boleh juga bertanya pada orang lain untuk melakukan uji kaji kendiri jika mampu bagi memastikan kebenarannya.

Mengenai orang bukan Islam pula, apabila ditanya mengenai agama Islam, mereka lebih mempercayai media cetak, media elektronik, "media angin" (khabar angin), memerhatikan tingkah laku orang Islam yang buruk dan menganggap semua agama adalah sama. Malah tidak kurang juga yang mengatakan Islam menggalakkan keganasan dan mencabuli hak kemanusiaan serta melanggar Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia. Contohnya seperti poligami, menutup aurat dan sebagainya.

"Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai." - Surah An-Nahl: Ayat 108

(Ayat ini ditujukan kepada orang kafir.Sila lihat empat ayat sebelumnya).

Sebenarnya mengetahui sukarnya segelintir golongan menerima dakwah adalah sangat penting kerana segala isi pengajaran yang didapati dalam sesi pembelajaran atau dakwah itu perlu diaplikasikan dalam diri. Dakwah perlu difahami, dipastikan kebenarannya, menerima kebenaran itu dengan jujur, dan kemudian barulah diyakini serta beramal dengannya.

Satu contoh yang mudah, jika seseorang itu berdakwah dengan mengatakan sembahlah Allah yang Maha Besar, maka perlu kita fahami makna "Maha Besar" itu; iaitu tidak ada yang lebih besar melainkan Allah. Kebenarannya, lihatlah isi di langit dan di bumi. Mampukah manusia sekecil kita mencipta bulan, matahari, tanah, lautan dan lain-lain? Kemudian terimalah kebenaran itu dengan jujur dan seikhlas hati dan mengucapkan tiada Tuhan selain Allah yang Maha Besar. 

Katakanlah: "Taat kepada Allah dan taatlah kepada Rasul; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajiban Rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajiban kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajiban Rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." - Surah An-Nuur: Ayat 54

Mereka yang Sukar Menerima Dakwah

Persoalannya, sejauh manakah dakwah para pendakwah benar-benar berkesan terhadap penerima dakwah? Sedikit kajian, pemerhatian dan penelitian dalam al-Quran, hadis dan sirah Nabi Muhammad SAW, didapati ada beberapa golongan yang sangat sukar menerima dakwah dan berdakwah kepadanya. Moga-moga kita terhindar daripada menjadi golongan seperti ini.

01.Mereka yang Menolak Kebenaran



"Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun." - Surah Al-Anfaal: Ayat 22

Maksudnya, manusia yang paling buruk di sisi Allah yang Maha Agung ialah yang tidak mahu mendengar dan memahami kebenaran. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)

Zaman ini, setelah mendengar seruan Nabi Muhammad SAW, mereka mengingkarinya dan mengatakan itu adalah amalan orang-orang lama (konservatif) dan pemikiran yang beku (jumud). Mereka menolak hadis-hadis daripada Rasulullah SAW dengan pelbagai alasan, malah mengatakan hadis-hadis inilah punca perselisihan dan perpecahan umat Islam sekarang.

Orang-orang seperti ini sangat sukar menerima dakwah kerana mereka sendiri enggan mengakui akan kebenaran Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW. Perkara ini bukan hanya terjadi pada orang kafir dan munafik sahaja, malah tergolong juga pada orang-orang yang mengaku Islam pada mulutnya, tetapi tidak beriktikad dalam hatinya.

Mereka tetap bersolat dan melaksanakan ibadah sebagai seorang Muslim, tetapi mereka menolak apa yang diperintahkan Allah yang Maha Agung melalui Rasul-Nya dan sebenarnya mereka tidak mengetahui mereka telah cenderung kepada kemunafikan dan kekufuran. Contohnya; Mereka mengatakan ada perkataan dan hukum yang lebih baik daripada Al-Quran, malah mencaci pula Rasulullah SAW dan para sahabatnya.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda: "Barang siapa taat kepadaku, bererti dia telah taat kepada Allah SWT; dan barangsiapa menderhakaiku, bererti dia derhaka kepada Allah SWT." - Sahih Ibnu Majah: 0003

02.Mereka yang Taksub Mengikuti Tradisi



"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati daripada (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?" - Surah Al-Baqarah: Ayat 170

Maksudnya, mereka yang telah diseru supaya mengikut perintah dan larangan Allah yang Maha Agung, tetapi mereka ingkar dan beralasan tradisi nenek moyang tidak boleh ditinggalkan, iaitu penyembahan berhala dan membuat sekutu-sekutu bagi Allah yang Maha Agung. (Rujukan: Tafsir Ibn Katsir)

Zaman ini, manusia tidak terlepas daripada mengikut tradisi nenek moyang mereka walaupun hal itu bertentangan dengan syariat. Amalan-amalan khurafat zaman dahulu seperti keris sakti pusaka, cincin geliga yang mampu menyembuhkan penyakit, gelang dan rantai yang dapat memberi kesihatan dan pelbagai lagi sekutu-sekutu yang diciptakan bagi menidakkan kekuasaan Allah yang Maha Agung.

Selain itu ada pula yang mengikuti tradisi kitab. Apabila berdakwah kepadanya mengenai sesuatu amalan atau ibadah yang bercanggah dengan syariat dan dikemukakan kebenaran dan faktanya, mereka mengatakan kitab itu hasil nenek moyang mereka dan mereka tetap mengikut kitab itu. Walhal kitab itu penuh penyelewengan seperti penuh hadis palsu, salah faham dalam penafsiran dan sebagainya. Orang-orang seperti ini sangat sukar berdakwah kepadanya kerana mereka begitu taksub dengan tradisi mereka.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa menyeru ke jalan petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikit pun daripada pahala-pahala amal mereka sama sekali. Barangsiapa menyeru kepada jalan yang menyesatkan, maka baginya dosa semisal (sama) dosa orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikit pun daripada dosa-dosa mereka sama sekali." - Sahih Ibnu Majah: 0172

03.Menyangka Majoriti adalah Kebenaran



Apa yang dimaksudkan adalah melihat ramai orang yang melakukan sesuatu kemungkaran dan kita menyangka bahawa perkara itu dibolehkan dalam syariat. Contohnya wanita yang memakai tudung yang jarang, wanita yang berbaju lengan pendek dan mempamerkan bentuk badan, wanita yang menyanyi di pentas (anugerah itu dan ini) dan pelbagai lagi yang bertentangan dengan syariat.

Walaupun contoh diatas pelakunya adalah wanita, tetapi di belakangnya terdapat kaum lelaki yang membiarkan malah menganjurkannya pula kerana mereka (lelaki) juga menyangka perkara itu dibolehkan. Ini termasuk para suami dan para bapa, sedangkan lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita dan mereka akan ditanya tentang kepimpinan mereka.

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)." - Surah An-Nisaa': Ayat 34

Apabila tiba hari pembalasan, orang yang dipimpin akan mula menyalahi para pemimpinnya kerana terlalu takut. 

Dan mereka berkata: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar)." - Surah Al-Ahzab: Ayat 67

Apa yang penting adalah, kebenaran itu didasari dengan ilmu. Di manakah pula cara, atau sumber kepada ilmu bagi mendapatkan kebenaran? Jawapannya adalah al-Quran dan hadis termasuk juga ijtihad dan kesepakatan seluruh ulama. Selain itu, terdapat juga ijtihad perseorangan ulama yang muktabar (kepelbagaian pendapat). Kebenaran itu tidak semestinya mengikut majoriti, jika terdapat kesalahan dan kesilapan orang terdahulu kemudian setelah diketahui kebenarannya, hendaklah kita menerima dengan hati yang terbuka dan perbetuli kembali kesalahan dan kesilapan itu agar tidak membiarkan generasi akan datang terus menerus dalam kesilapan.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran." Ia (Abu Hurairah) bertanya, Bagaimana orang (yang) tidak memegang teguh amanah itu ya Rasulullah?" Beliau (Nabi SAW) menjawab, "Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran." - Sahih Bukhari: 1746

04.Mereka yang Berilmu Pengetahuan



"Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu." - Surah Al-Mukmin: Ayat 83

Di antara orang yang paling sukar didakwahkan juga adalah orang yang menyangka dia sudah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Sebarang pendapat yang berlainan dengannya akan ditentang habis-habisan walaupun bertentangan dengan hadis Nabi SAW. Mereka akan berhujah dengan kitab itu dan ini, kata-kata guru itu dan guru ini malah mereka lebih mengikut pendapat guru dan kitab mereka melebihi perkataan Rasulullah SAW sendiri.

Apa yang lebih melucukan adalah, mereka menggunakan dalil yang langsung tidak layak seperti surat khabar, radio dan sebagainya bagi menentang atau beralasan menolak hadis Rasulullah SAW.

05.Orang yang Mempunyai Pangkat, Harta dan Kuasa



"Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat daripada Kami, ia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui." - Surah Az-Zumar: Ayat 49

Umum kita mengetahui sepanjang sejarah dakwah para Rasul dan Nabi mempunyai banyak tentangan daripada orang yang mempunyai pangkat, harta dan kuasa (sila rujuk sirah para Nabi dan Rasul). Keadaan ini berterusan pula sehingga ke hari ini, tetapi perlu diingat bahawa pengulangan sejarah ini adalah sebagai satu pengajaran buat umat zaman akhir ini. Apakah yang telah terjadi kepada orang-orang yang menentang risalah Rasul mereka? Mereka menerima kebinasaan di dunia dan di akhirat.

Mereka menganggap segala nikmat yang diberikan oleh Allah yang Maha Agung adalah kerana hasil usaha mereka sendiri. Mereka lupa bahawa nikmat itu pasti akan ditanya kembali pada hari pembalasan mengenai apakah yang telah mereka perbuat terhadap nikmat itu. Mari kita perhatikan kata-kata Qarun:

Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka. - Surah Al-Qashash: Ayat 78

Kedua-dua ayat diatas menyatakan akan kesombongan golongan yang kelima ini. Apabila didakwahkan kepada mereka agar mentaati perintah Allah yang Maha Agung dan Rasul-Nya, mereka sangat sombong; mereka berkata ada perkataan yang lebih baik dari itu pada zaman moden ini. Tujuan mereka tidak lain hanyalah untuk menambah kekayaan mereka sahaja dan takut rugi dari segi kehilangan pengaruh dan kuasa.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Setiap umatku masuk ke dalam syurga, selain orang yang enggan." Mereka bertanya, "Ya, Rasulullah, Siapakah yang enggan (masuk syurga) itu?" Jawab Nabi saw, "Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintah ku, maka sesungguhnya orang itu enggan (masuk syurga)." - Sahih Bukhari: 1952

06.Sangka Buruk



"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjing (memfitnah, mengumpat atau mengata) satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." - Surah Al-Hujuraat: Ayat 12

Mereka ini sentiasa bersangka buruk pada orang lain, terutamanya kepada orang-orang yang mempunyai kelebihan daripada mereka. Mereka mencari-cari kesalahan orang lain tanpa melihat diri sendiri. Mereka juga menganggap mudah mengenai hal-hal ilmu agama dan melihat orang lain lebih rendah dari mereka.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. - Surah Al-Hujuraat: Ayat 11

Mencela diri sendiri juga bermaksud mencela para mukmin yang lain. Orang seperti ini sukar didakwahkan kerana mereka menganggap orang lain semua sama seperti mereka termasuk juga para ilmuwan dan pendakwah. Padahal dalam al-Quran jelas mengatakan orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang jahil.

"... Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." - Surah Az-Zumar: Ayat 9

Daripada Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan." - Sahih Bukhari: 1915

Kesimpulan

Setelah kita mengenali enam golongan di atas, dapatlah kita memperbaiki diri agar lebih mudah menerima pendapat orang lain dan bertolak ansur sesama saudara se-Islam. Mungkin juga kita tergolong dalam salah satu golongan di atas, tetapi kita tidak menyedarinya selama ini.

Kepada para pendakwah, strategi yang betul diperlukan bagi menarik minat orang ingin didakwahkan agar dakwah itu benar-benar memberi pemahaman kepada penerimanya. Selain itu, isu-isu yang diutarakan juga perlulah lebih segar, iaitu isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan semasa supaya contoh-contoh yang diberikan nampak lebih jelas dan mudah untuk mereka memahaminya.

Hanya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayanglah kita memohon perlindungan agar terhindar daripada menjadi enam golongan di atas. Kesabaran dalam berdakwah amat diperlukan, janganlah sesekali berputus asa kerana putus asa hanyalah sikap orang kafir.

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar." - Surah Al-Baqarah: Ayat 153

Daripada Mu'awiyah r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Sentiasa ada segolongan umatku yang selalu berjuang menegakkan agama Allah Ta'ala. Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari kiamat. Bahkan mereka tetap menang atas semua manusia." - Sahih Muslim: 1873

Jumaat, Februari 17, 2012

Hukum Mendoakan Orang Bukan Islam




Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada beberapa keadaan dan isi kandungan doa, pertama HARAM kedua HARUS. Secara ringkasnya adalah seperti berikut :-

1.   HUKUM HARAM

Para ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam dengan KEAMPUNAN ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA DAN APA SAHAJA YANG BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah DIHARAMKAN. 
Imam An-Nawawi menyebut :
وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع
Ertinya : Adapun mendoakan orang kafir (bukan Islam) untuk mendapat keampunan adalah HARAM dari teks Al-Quran dan ijma' ulama ( Al-Majmu')

RINGKASAN DALIL

Terdapat beberapa dalil asas antaranya :- 

  • Firman Allah :-

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
Ertinya : Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir & bukan Islam), walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam. (At-Taubat : 113)

  • Hadis Nabi :

أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عرض الإسلام على عمه أبي طالب وهو يموت، فأبى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ . فَنَزَلَتْ : ( مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ ) وَنَزَلَتْ : ( إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ )
Ertinya : Nabi s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu Talib kepada Islam, amun dia meninggal sebelum menyahutnya. Maka berkata nabi : "Aku berdoa keampuanan dari Allah untuknya apa-apa yang dia tidak berdoa (semasa hayatnya). Selapas doa nabi itu dibuat, turun ayat di atas dan turun juga ayat yang beerti " sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sukai" 

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan Allah kepada nabi dari berdoa KEAMPUNAN kepada bapa saudaranya yang TIDAK ISLAM. Imam Ib Hajar Al-Haithami Al-Syafie berkata
حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه
Ertina : haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat untuk orang bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak pada status Islamnya walau mereka itu ibubapanya ( Rujuk Tuhafatul Muhtaj )

2.            HUKUM HARUS

Ulama juga sepakat mendoakan orang bukan Islam (kafir) agar mendapat HIDAYAH adalah HARUS DAN DIBENARKAN. Demikian juga lain-lain kebaikan bersifat dunia seperti umur panjang, kesihatan, lebih adil dan sebagainya, doa dalam hal kedunia itu HARUS selagi mana dia bukan merupakan seorang penentang utama Islam.
Imam Al-Bukhari sehingga memasukkan tajuk dalam kitabnya :
بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ
Ertinya : bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat hidayah agar dijinakkan hati mereka.

RINGKASAN DALIL
Terdapat beberapa dalil utama dalam hal ini, antaranya :-

  • Hadis nabi : -

فَقَالَ : إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ
Ertinya : Seorang sahabat telah datang kepada Nabi lalu berkata : Sesungguhnya seorang dari Dausan (nama kelaurga) telah derhaka dan enggan (masuk Islam), tolonglah doakan kepada Allah untuknya. Lalu Nabi berdoa : "Ya Allah berikanlah hidayah buat lelaki dari ahli keluarga Dausan itu dan bawakanlah dia kepada kami (Riwayat Al-Bukhari, no 2779 & Muslim)

Doa yang hampir sama juga pernah Nabi lafazkan untuk Ibu Abu Hurairah, ertinya : "Ya Allah berikanlah hidayah untuk Ibu Abu Hurayrah" (dari Riwayat Muslim)

Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu merupakan satu taqriri dayang jelas berkenaan keharusannya. Ada ketikanya nabi akan mendoakan kehancuran dan laknat buat orang bukan Islam khususnya di ketika kuatnya kejahatan mereka ke atas umat Islam, di kala tenang dan aman, nabi mendoakan pula hidayah buat beberapa dari kalangan mereka. (Fath Al-Bari, 10/604).

  • Hadis nabi :-

كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ
Ertinya : orang Yahudi sengaja buat-buat bersin di hadapan Nabi serta berharap Nabi akan berkata sebagai balasan : Moga Allah merahmatimu kamu, Namun Nabi hanya menyebut  : Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperelokkan pemikiranmu ( Riwayat At-Tirimizi& Abu Daud ; sohih menurut Albani)

Doa Nabi untuk mereka mendapat hidayah itu jelas membawa erti keharusan mendoakan hidayah buat mereka. Berdasarkan hadis itu, maka TIDAK HARUS untuk kita menyebut "bless you" kepada orang bukan Islam apabila dia bersin kerana 'bless you' tidak membawa makna yang sama dengan "Moga Allah memberi hidayah buatmu". Justeru, Jika keadaan sesuai (kerana rakan agak rapat & telah ada minat kepada Islam), ucapan selepas mendengar bersin seorang bukan Islam itu boleh ditukar kepada "May Allah guide you" atau apa-apa yang seerti dengannya.  Namun jika situasi itu tidak sesuai, eloklah berdiam diri sahaja atau boleh disebut 'get well soon' atau apa-apa ucapan lain bersifat kebaikan dunia.  

Syeikh Abu Tib menyatakan tidak boleh kita mendoakan rahmat atau blessing untuk bukan Islam kerana ia lafaz rahmat khas untuk sesama Muslim sahaja. ( ‘Aunu Al-Ma'bud, 13/257)

  • Hadis nabi :


Nabi pernah berdoa :

اللهم اعز الإسلام بأحب العمرين
Ertinya : Ya Allah, tinggikanlah Islam melalui salah seorang dari dua Umar ( Umar Al-Khattab atau Amru Hisham iaitu Abu Jahal)

Para ulama juga menyimpulkan keharusan berdoa untuk bukan Islam yang baik dan TIDAK BERCIRI PENENTANG ISLAM agar mendapat bertambah adil, bertambah baik, dipanjangkan umur, tambah anaknya, sihat tubuhnya dan dari jenis manfaat dunia yang tidak melibatkan akhirat serta rahmat dan keampunan.

Sebagaimana nabi pernah meminta Allah melewatkan dan menangguhkan azab ke atas penduduk Taif yang menghalaunya kerana mereka jahil dan tidak mengetahui.

KESIMPULAN
Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada isi kandungan doanya, sama ada doa itu diucapkan di dalam khutbah atau di luar ia tetap sama dari sudut hukum. Ia bergantung kepada kandungan. Jika ia melibatkan doa berkaitan urusan dunia seperti tubuh sihat atau mendapat hidayah, DISEPAKATI ULAMA ATAS KEHARUSANNYA. Namun jika keampunan, rahmat dan urusan akhirat DISEPAKATI HARAM.

TIDAK DIBENARKAN JUGA berdoa untuknya dengan rahmat selepas mereka bersin, sebaliknya ubahlah ucapan menuju erti moga Allah memberi hidayah kepadanya.

Jangan dilupa juga, doa kebaikan untuk orang zalim yang pasti menurut neraca Al-Quran dan Al-hadis, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam adalah ditegah. Dalam sebuah athar yang kukuh jalan riwayatannya, disebut :-

من دعا لظالم بالبقاء فقد أحب أن يعصى الله
Ertinya : sesiapa yang mendoakan untuk orang zalim, maka dia sessungguhnya menyukai untuk menderhakai Allah. (Al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)