oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Sewaktu
saya menulis artikel ini, GST telah pun diluluskan oleh kerajaan dan
parlimen Malaysia dengan undi majoriti ahli dewan rakyat. Namun apa pula
sebenarnya pandangan ahli fiqh dan ulama berkenaannya?. Banyak
perbincangan timbul berkenaan cukai lantaran pengumuman kerajaan untuk
memperkenalkan Goods and Service Tax (GST) bermula April 2015 nanti.
Tidak kurang juga yang mengulas berkaitan hukum GST terbabit, ada yang
mendakwanya haram secara mutlaq (total), ada juga yang menganggapnya
haram kerana sebab-sebab lain dan sebagainya. Ada pula yang menyebutnya
sebagai harus lagi halal. Menteri Agama pula menyatakan tiada keperluan
untuk membincangkan hukum GST di peringkat Majlis Fatwa.
Penulisan
ringkas ini akan berkongsi persoalan cukai menurut ahli fiqh Islam
berdasarkan ijtihad masing-masing. Secara umumnya, para ulama fiqh
terbahagi kepada tiga kumpulan dalam menentukan hukum kerajaan
mengenakan cukai. Ia seperti berikut:-
1. Haramnya cukai secara mutlaq.
Mereka berhujjah berdasarkan dalil :
a. Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang mengharamkan memakan harta sesama manusia secara bathil.
Justeru, pungutan cukai dianggap tergolong dalam pendapatan yang bathil kerana tanpa rela dan keperluan mendesak.
b. Sabdaan Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut
أَلَا لا تَظْلِموا, أَلَا لا يَحِلُّ مالُ امرِىءٍ إلا بِطِيبِ نفسٍ منه
Ertinya : Janganlah kami menzalimi dan tiada halal harta seseorang muslim yang (diambil) tanpa disertai rela dan izin dari pemiliknya. ( Riwayat Ahmad : hadis sohih)
Justeru, mengambil cukai dari rakyat sedang rakyat tidak rela disebabkan pendapatan kerajaan yang mewah adalah tiada halal.
c. Sabda Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam
فوالذي نفسي بيدِه ! لقد تابت توبةً ، لو تابها صاحبُ مُكْسٍ لغُفِرَ لهُ
Ertinya
: Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin
dilaksanakan hukuman had ke atasnya tetapi baginda menjawab, “Demi
jiwaku pada tangan Allah, seseungguhnya wanita itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan diampunkan baginya. ( Riwayat Muslim : Sohih)
Justeru, pemungut cukai adalah haram kerana itu baginda Nabi menyebut ‘bertaubat’ menunjukkan ianya berdosa.
d. Nabi bersabda :
إنَّ صاحبَ المَكْسِ في النارِ
Ertinya
:Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘Maks’ (sebahagian
menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka. ( Riwayat Ahmad
: Sohih menurut Al-Suyuti)
2. Harus secara sementara waktu ke atas si kaya pada kadar tertentu di musim wujudnya keperluan.
a. Dalil mereka : Sabda Nabi ;
إنَّ في المالِ لَحَقًّا سِوَى الزكاةِ
Ertinya : sesungguhnya pada harta itu ada kewajiban lain selain zakat (Riwayat At-Tirmidzi : Dhoif menurut Al-Suyuti, Albani, )
b. Berlandaskan Siyasah Syari’iyyah yang digubal berdasarkan keperluan semasa. Sebagaimana fatwa Imam Malik yang berkata :
Ertinya:
Wajib ke atas orang ramai menebus tawanan perang mereka walaupun mereka
terpaksa menggunakan harta mereka sendiri (Ahkam al-Quran, Ibn Arabi,
60/1). Imam Al-Qurtubi juga menguatkan hal ini dengan katanya “Sepakat
ulama apabila wujudnya keperluan untuk kaum muslimin dalam sesebuah
Negara iaitu selepas digunakan wang zakat dari baitul mal maka wajib
pula dibantu dengan menyalurkan wang (dari cukai rakyat). ( Tafsir
Al-Qurtubi, 2/223). Hal ini juga ditegaskan oleh Imam Al-Syatibi dalam
kitabnya al-I’tisom. Imam Al-Ghazzali juga menyatakan yang sam apabila
dia menyebut:-
Ertinya “Apabila sudah kosong milikan Negara
dari harta, dan tiada lagi harta awam yang boleh memenuhi keperluan
tentera, sehingga jika tentera terpaksa bekerja lain bagi mendapatkan
pendapatan dan meninggalkan tugasan tentera, maka dibimbangi masuknya
musuh ke neraka umat Islam atau pemberontakan fitnah, maka haruslah bagi
pemerintah mengenakan kepada si kaya kadar (cukai) bagi memenuhi
keperluan tentera. ( Al-Mustasfa, 1/426)
Namun,
konteks fatwa ini kelihatan tidak begitu menepati situasi Malaysia
kerana negara kita masih tidak sampai ke tahap tersebut.
3. Harus mengenakan cukai pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran Negara.
Pendapat
ini dipegang oleh Sheikh Mahmud Syaltut, (Al-Fatawa al-Kubra, hlm 116),
begitu juga Sheikh Abu a’la al-Mawdudi yang menyatakan, harus dikenakan
cukai jika wang bayaran cukai itu adalah bagi kemaslahatan awam.
(Nazariyat al-Islam, hlm 313). Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga
berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam sambil
mengatakan perkataan ‘Maks’ di dalam hadis ancaman neraka itu oleh Nabi
s.a.w itu membawa maksud khusus iaitu
التي يفرضها بعض الحكام توسعة على أنفسهم وأتباعهم وتضييقا على شعوبهم
Ertinya
: iaitu jenis cukai yang difardhukan oleh sebahagian pemerintah untuk
bersenang-senang mereka dengannya dan penyokong mereka walaupun
menyempitkan rakyat mereka. ( Fiqh al-Zakat, Qaradawi, 2/987)
Prof.
Dr Ali Muhydin Al-Qurrah Daghi menyatakan Ini juga merujuk kepada
sebahagian cukai yang dikenakan di zaman pemerintahan awal Islam seperti
AL-KHARRAJ (cukai tanah), AL-'USHUR ( cukai perniagaan 10 % ke atas
perniagaan non muslim) dan AL-JIZYAH (cukai individu) . Kesemua cukai
ini digunakan sebaikanya untuk kepentingan dan kebaikan rakyat.
TARJIH PANDANGAN
Penulisan
ringkas ini tidak mampu untuk membuat tarjihan pendapat yang terkuat
secara komprehensif, namun secara umumnya perbincangan hukum cukai dalam
Islam tidak dapat lari dari menimbang di antara maslahat kebaikan dan
kemudaratan darinya. Walaupun sewaktu wujudnya dalil-dalil berkaitan
cukai, namun menurut majoriti ulama’, nas yang berkait dengan urusan
siyasah dan pentadbiran mesti dilihat kepada ‘illah atau sebab utamanya
ianya disebutkan oleh Nabi s.a.w. Melhat kepada objektifnya iaitu
membawa lebih kebaikan berbanding kemudaratan. Beberapa jenis hukum
dalam urusan muamalat boleh berubah dengan berubahnya masa dan zaman
serta keperluan.
Namun
apapun, kaedah fiqh ada menyatakan “Menolak Keburukan didahulukan dari
Membawa Kebaikan (tambahan)”. Justeru, jika benar tanpa GST atau cukai
jualan dan servis, maka ini ekonomi negara bakal terancam, kelangsungan
Negara menjadi longgar, tatkala itu cukai boleh berubah menjadi harus
dan hal ini boleh dinilai dari masa ke semasa.
Sebahagian
ahli ekonomi menyimpulkan cukai GST mampu membawa kestabilan fiskal
dalam kewangan negara dan keutuhan pendapatan kerajaan selain dapat
memperbaiki kutipan hasil cukai dari sebahagian besar golongan yang
terlepas atau sengaja melepaskan diri dari membayar cukai.
Manakala
sebahagian yang lain menyatakan cukai hanya menyebabkan inflasi semakin
sukar dikawal, kenaikan harga dalam majoriti barangan yang akhirnya
membawa kesan buruk kepada hampir semua kelas pendapatan rakyat
khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Disebabkan harga
barang menjadi menaik, kuasa beli dan nilai matawang menjadi turun.
Cukai
seperti ini mungkin sangat releven bagi sesebuah negara yang belum
memperkenalkannya khususnya seperti cukai pendapatan, korporat dan
sebagainya. Namun, memperkenalkan cukai baru sedangkan kantung kewangan
negara masih utuh dan perbelanjaan awam masih boleh dikawal dan
diperbetulkan, sudah tentu lebih cenderung hukumnya kepada HARAM,
kecuali jika ia bersifat sementara sebagaimana fatwa kumpulan kedua
ulama.
Negara
Malaysia yang telah sedia ada cukai jualan dan servis sejak beberapa
puluh tahun lepas, namun untuk meniadakannya secara drastik bakal
menyaksikan kekalutan pengurusan kewangan, pentadbir awam dan negara
berada dalam kesukaran yang dibimbangi membawa lebih mudarat berbanding
manfaat. Jika hukum haram yang ingin dipegang sebagai terkuat, maka
sejak berpuluh tahun sebelum ini cukai ini sudah haram dan patut
ditegaskan agar tidak perlu dibayar serta jangan dibayar. Bukanlah
sekarang masanya untuk terus menolak cukai secara sepenuhnya.
Berkenaan
GST pula, jika mampu dibuktikan sebagai penyusunan semula metode cukai
dan seterusnya mampu diurus dengan lebih baik, telus dan lebih kurang
menekan berbanding sistem percukaian cukai jualan dan khidmat sebelum
ini, maka saya rasakan GST boleh disokong pelaksanaannya atas dasar,
mengambil kaedah Fiqh iaitu mengambil yang kurang mudarat di antara dua
kemudaratan.
Secara
teorinya, namun bergantung kepada pengawasan terhadap para peniaga, GST
boleh sama ada menaikkan harga, menurunkan harga atau kekal pada harga
biasa. Illustrasi dari pihak savemoney ini mungkin boleh memudahkan
gambarannya.
1. GST Tidak Memberi Kesan Kepada Harga
2. GST Boleh Menyebabkan Turun Harga ( Jika peniaga bersifat jujur)
3. GST menyebabkan Naik Harga
ANTARA SYARAT
Namun
tentunya, keharusan berdasarkan pertimbangan kaedah “yang kurang
mudarat dari dua mudarat” ini mestilah diikat dengan beberapa perkara
antaranya seperti :-
- Kadar 6 % patut dimulakan dengan lebih rendah agar tidak berlaku sebarang perubahan drastik terhadap peniaga dan rakyat. Mungkin kadar 3 % lebih sesuai sebagai permulaan.
- Sebarang ketirisan dan kelemahan pengurusan hasil kewangan oleh kementerian yang dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara mestilah dikenakan tindakan keras dan segera bagi memastikan setiap hasil cukai yang diterima tidak disalahgunakan oleh pentadbir awam dan ahli politik yang berkuasa. Kita tidak mahu laporan kelemahan dan salah urus tadbir kewangan yang didedahkan Jabatan Audit Negara pada setiap tahun menjadi hanya bebelan awam secara berkala tanpa sebarang tindakan jitu.
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patut diberi kuasa dan kemampuan pendakwaan dengan lebih berkesan agar tiada peniaga yang mampu lari dari GST atau tiada pegawai awam boleh memanipulasi pelaksanaan GST untuk kepentingan mereka.
- Pihak KPDNKK mestilah mempunyai mekanisme terbaik dan jitu dengan jumlah pegawai yang mencukupi bagi menangani kenaikan harga yang disengajakan oleh peniaga sejurus GST dikuatkuasakan.
- Peruntukan bajet kepada semua kementerian yang BELUM digunakan sewajarnya dilaporkan semula dalam bajet tahun berikutnya. Jangan dipaksa sesebuah jabatan atau kementerian menghabiskan wang peruntukan sehingga sebahagian mereka ‘terpaksa’ menghabiskannya kepada perkara yang sia-sia dan merugikan rakyat serta pecah amanah.
Pada
waktu beberapa perkara utama ini gagal dipastikan dan jika kemudaratan
pula bertambah ke atas peniaga dan rakyat, tatkala itu, pihak yang
mengharuskan GST dikira telah membuat keputusan yang memudaratkan ahli
negara dan rakyatnya, itu tidak lain membawa kepada dosa dan pengabaian
amanah. Wallahu’alam.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
www.murshid.my
9 April 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan