Jumaat, Julai 06, 2012

Dakwah Fardiyyah




Dakwah Fardiyah adalah seni perhubungan antara seorang pendakwah dengan mad’unya dalam bentuk hubungan peribadi secara langsung. Dalam erti kata lain dakwah fardiyah juga adalah usaha dakwah yang dilakukan oleh seseorang kepada orang lain dalam jumlah yang kecil dan terbatas. Biasanya dakwah fardiyah berlaku tanpa persiapan yang rapi, matang dan tersusun. Antara kategori dakwah fardiyah adalah seperti memberi nasihat, teguran, anjuran dan contoh tauladan yang baik kepada rakan dan orang sekeliling.


Mustafa Al-Mahsyur memberikan beberapa pesanan khusus mengenai dakwah fardiyah kepada para pendakwah yang ingin menggunakan dakwah fardiyah sebagai alat untuk mereka menyebarkan dakwah. antara pesanan khusus tersebut ialah :
  1. Pendakwah hendaklah bersungguh-sungguh, memberi perhatian, mengikuti perkembangan dan membuat penilaian setelah dakwah fardiyah dilaksanakan dalam jangka masa tertentu. Ini dilakukan supaya kita berpuas hati terhadap usaha yang dilakukan.

  2. Perlaksanaan dakwah fardiyah hendaklah terlebih dahulu diberikan panduan dan tunjuk ajar kepada pendakwah berkenaan uslub, pengertian dan beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Ini bertujuan untuk memantapkan lagi dakwah yang dilakukan kepada mad’u. 

  3. Selain daripada menjelaskan tuntutan-tuntutan yang terdapat dalam usaha dakwah, pendakwah juga perlu mencari jalan untuk menghilangkan keraguan mad’u terhadap Islam dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang boleh mengikis keraguan yang terdapat dalam fikiran mad’u. 

  4. Kebaikan dan kejayaan cemerlang yang diperolehi oleh mereka yang menyahut seruan Allah mestilah ditonjolkan kepada semua. Begitu juga dengan bahaya besar yang menimpa mereka yang menolak kebenaran Islam. Sesungguhnya cara ini dapat memberikan  kesan yang mendalam kepada mad’u.

  5. Para pendakwah mestilah sentiasa bekerjasama, tolong menolong dan nasihat menasihati antara satu sama lain apabila mereka ditimpa musibah atau menghadapi halangan dan rintangan.

  6. Kejayaan, Keberkatan dan taufiq adalah berdasarkan kepada keikhlasan, kesungguhan, berlapang dada dan kesabaran dalam menjalankan usaha dakwah.

  7. Dakwah fardiyah ini dapat dilaksanakan di dalam sebarang suasana dan keadaan, berbeza dengan dakwah am yang kadang-kadang menghadapi tekanan dan rintangan.

  8. Dakwah fardiyah istimewa kerana ia mewujudkan hubungan dan ikatan dengan mad’u. Ini berbeza dengan dakwah am seperti ceramah dan majlis ilmu kerana ia tidak melahirkan hubungan mesra secara langsung antara pendakwah dan mad’u.

  9. Dakwah fardiyah memberi kesempatan kepada mad’u untuk meminta penjelasan terhadap setiap kekeliruan dan ia juga mampu menghapuskan segala keraguan dan kesamaran di dalam dirinya.

  10. Hasil dakwah fardiyah ini mampu mencapai angka yang berlipat ganda di dalam waktu yang singkat jika dibandingkan dengan dakwah am.

Setiap para pendakwah yang melaksanakan dakwah fardiyah hendaklah terlebih dahulu menentukan tempoh masa tertentu untuk membawa seorang mad’u ke jalan dakwah. Pendakwah juga hendaklah berfikir kreatif, tekun dan bertenaga untuk menjayakan usaha dakwahnya. Dia hendaklah menganggap segala cabaran dan dugaan itu sebagai ujian bagi dirinya. Pendakwah akan memperolehi kejayaan membawa mad’unya ke jalan kebenaran apabila ia mempunyai sifat kesabaran dan kesungguhan yang tinggi.

Tiada ulasan: