Jumaat, Ogos 10, 2012

Pakar Bedah Ghaib ( Rupa-rupanya, bukan manusia sahaja pandai 'operate', malaikat jauh lebih 'terer'... )


Rupa-rupanya, bukan manusia sahaja pandai 'operate', malaikat jauh lebih 'terer'...


Pakar Bedah Ghaib Menggerunkan Halimah
Kambingpun Ceria
                Warna alam berubah daripada kuning kepada oren. Waktu Asar menjelma. Halimah tiba di kampung halaman. Tanah tandus menyambut kehadiran bayi mulia.
Emmbekkkk…
Bunyi kambing-kambingnya terdengar ceria. Ia baru pulang dari tempat gembalaan. Halimah menjengukkan kepala bagi meninjau binatang-binatang berjasa itu.
“Ya Allah!”
Halimah terkejut melihat kantung susu kambing-kambingnya bengkak. Susu bertitis-titisan minta diperah. Halimah melihat pula kambing-kambing jirannya. Kurus-kering dan tidak bertenaga.
“Keberkatan apakah ini?” Halimah teruja.
Hari seterusnya, jiran-jiran Halimah menggembalakan kambing mereka di tempat kambing-kambing Halimah digembala. Mereka berharap moga-moga keberkatan itu menempias kepada kambing mereka juga.
Kampung Bani Saad Menjadi Subur
Selama 2 tahun bayi kecil bernama Muhammad membesar dalam pelukan Halimah, keluarga itu dilimpahi rezeki yang mencurah-curah. Tanah gersang menjadi subur. Kambing kurus menjadi gemuk. Tanam-tanaman ceria disirami hujan.
Halimah kagum dengan Muhammad. Kebanyakan bayi seusianya tidak mahu makan makanan lain selain susu ibu hinggalah berusia dua tahun. Tapi Muhammad berbeza. Sebelum berusia dua tahun, dia sudah pandai menyesuaikan diri dengan makanan pelengkap. Halimah menceraikan Muhammad daripada susuannya ketika usianya genap dua tahun.
Kasih Halimah kepada Muhammad semakin mengakar teguh hari demi hari. Namun janji tetap janji. Halimah tahu dia perlu menghantar Muhammad ke pangkuan ibunya.
Berwawasan Jauh
Sepanjang perjalanan menuju ke Makkah, Halimah berasa sebak dan sayu. Seakan tidak sanggup untuk berpisah dengan bayi itu. Bukan semata-mata disebabkan oleh naluri kasih bahkan juga kerana risaukan risiko masa depan Muhammad andai ia membesar di Makkah.
Saat berjumpa Aminah, Halimah merayu, “Kami harap anak ini tetap bersama kami. Kami khuatir lingkungan Makkah akan memberi pengaruh buruk kepadanya.”
Sebagai seorang ibu yang sangat cintakan anaknya, Aminah rasa keberatan untuk melepaskan Muhammad sekali lagi. Namun dia lebih memikirkan masa depan Muhammad. Dia kagumi sikap Halimah yang berpandangan jauh.
Aminah terfikir, andai Muhammad membesar di kawasan perkampungan, bahasa Arabnya akan menjadi lebih fasih dan lancar. Bahasa yang ada di Makkah bercampur dengan pelbagai bahasa pengunjung kaabah yang datang dari pelbagai arah. Lagipun, tanpa sokongan vaksin, penyakit senang merebak di Makkah tika itu.
Aminah merelakan putera tercinta kembali semula ke perkampungan Bani Saad. Halimah ternyata sangat gembira.
Malaikat Pakar Bedah
                Putera Halimah  berlari tergopoh-gapah. Badannya seram sejuk dan menggeletar. Wajahnya sangat ketakutan.
“Ibu!!!!!Ayah!!!!” Dari jauh dia menjerit-jerit.
Halimah dan suaminya mendapatkan puteranya itu.
“Ibu, ayah, Muhammad ditangkap dua orang lelaki berpakaian putih. Dia ditidurkan, lalu perutnya dibuka. Kedua orang itu mengeluarkan sesuatu dari perut Muhammad,” adu anak Halimah.
Halimah dan suaminya cemas. Mereka mencari Muhammad di kawasan belakang khemah. Mereka mendapati Muhammad berdiri sendirian dengan wajah pucat. Dia nampak ketakutan. Halimah mendakapnya.
“Apa yang terjadi, nak?” tanya Halimah.
Muhammad bercerita, “Saya didatangi dua orang lelaki berpakaian putih. Saya ditidurkan, lalu mereka membelah perut saya. Mereka mengeluarkan sesuatu dari perut saya.”
Halimah dan suaminya membawa Muhammad masuk ke rumah. Mereka berusaha menenangkan perasaan Muhammad.
Suaminya berbisik, “Abang takut anak ini kerasukan jin. Baik kita hantarkan saja kepada keluarganya sebelum dia menjadi gila.”
Terdengar Petanda Kenabian
                Halimah dan suaminya bergegas ke Makkah. Tika itu usia Muhamamd dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Mereka berterus-terang menyatakan hasrat untuk mengembalikan Muhammad kepada Aminah.
Aminah kehairanan. Dia berkata,
“Bukankah dulu kamu merengek-rengek mahu menjagakan Muhammad?”
Halimah menjawab, “Saya takut terjadi apa-apa kepada Muhammad.”
Aminah curiga dengan kenyataan itu. Dia mendesak Halimah menceritakan apa yang sebenarnya telah berlaku ke atas Muhammad.
“Dia pernah disentuh jin,” cerita Halimah berdasarkan sangkaannya.
“Tidak mungkin! Jin dan syaitan tidak akan mampu menyentuhnya. Anakku ini mempunyai keistimewaan sejak sebelum dilahirkan. Kalian mahu tahu?” bongkar Aminah.
Halimah mengangguk. Aminah lalu bercerita,
“Saat aku mengandungkannya, ada cahaya terang yang keluar dari perutku. Dari cahaya itu, aku mampu melihat istana Bushrah di Wilayah Syam. Aku juga merasa ringan, seakan tidak hamil. Saat dia lahir, saat tangannya menyentuh alas tidur, kepalanya mendongak ke langit.” (Sirah Ibnu Hisyam, riwayat Abu Ya’la dan Thabrani).
Halimah kemudiannya pulang dengan kerinduan yang berat untuk ditanggung.
Halimah di Hati Nabi
                Muhammad kini menginjak dewasa. Membesar dalam keadaan yatim piatu kerana ibunya meninggal ketika dia berusia 6 tahun. Tatkala usianya mencecah 25 tahun, baginda bernikah dengan puteri bangsawan bernama Khadijah, bosnya sendiri.
                Selang beberapa waktu, Halimah datang menemui anak susuannya. Halimah bergembira dengan perkahwinan mereka. Halimah berkongsi kisah duka tentang Kampung Bani Saad yang sedang ditimpa kemarau dan kebulur.
                Khadijah mendengar berita itu. Beliau yang tidak mempunyai ibu mentua untuk berbakti dapatlah memanfaatkan peluang berbakti kepada ibu mentua susuan. Khadijah menghadiahkan 20 ekor kambing dan 20 ekor unta kepada Halimah.
                Halimah terharu. Dulu, dia hampir tidak mahu mengambil Muhammad sebagai anak susuan kerana bimbang tiada upah tinggi yang bakal diterima. Muhammad kan anak yatim. Namun, dia positifkan fikiran. Dengan kuasa Allah, harta berganda-ganda yang diterimanya setelah Muhammad dewasa. Inilah namanya keberkatan. Ia sering datang di luar jangka.
Anak Susuannya Seorang Nabi
                Siapa tidak bangga jika anak yang disusui sejak kecil berjaya menjadi orang besar? Halimah lebih layak berbangga apabila anak yang disusuinya diangkat menjadi seorang Nabi dan Rasul terakhir.
                Selepas terdengar berita kenabian Muhammad, Halimah berangkat meninggalkan kampungnya. Tidak sabar menyatakan keimanannya kepada Muhammad. Terngiang-ngiang memori silam tatkala puteranya menjadi saksi terhadap perkara aneh yang menimpa Muhammad.
                Rasulullah menyambut kedatangan Halimah dengan sambutan hangat. Baginda melepaskan kain serbannya dan dihampar ke tanah. Moga tiada debu yang menghinggapi ibu mulia itu tatkala ia duduk. Sahabat teruja dan kagum melihat sendiri peribadi Nabi.
                Halimah meninggal di Madinah dan dikebumikan di makam Baqi’.

-fatimahsyarha-

Tiada ulasan: