Isnin, Februari 22, 2016

TAK BOLEH SOLAT DENGAN PAKAIAN DILIPAT, RAMBUT DIIKAT BAGI LELAKI, MENYELA RAMBUT?


Hal ini telah disebut dalam beberapa buah hadis antaranya:-
أُمِرَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ وَلَا يَكُفَّ ثَوْبَهُ وَلَا شَعَرَهُ
Ertinya: Nabi sallallahu’alaihi wasallam diperintahkan untuk sujud di atas tujuh anggota dan tidak melipat bajunya, begitu juga (mengikat) rambutnya. ( Riwayat Al-Bukhari)

At-Tayyibi dan Al-Munawi menghuraikan erti (يَكُفَّ) dengan menggabungkan, melipat pakaian ketika rukuk dan sujud. Mereka juga berkata larangan itu membawa erti makruh dan tidak sampai kepada haram. Imam An-Nawawi menjelaskan
اتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى النَّهْيِ عَنْ الصَّلَاةِ وَثَوْبُهُ مُشَمَّرٌ أَوْ كُمُّهُ أَوْ نَحْوُهُ أَوْ رَأْسُهُ مَعْقُوصٌ أَوْ مَرْدُودٌ شَعْرُهُ تَحْتَ عِمَامَتِهِ أَوْ نَحْوُ ذَلِكَ ، فَكُلُّ هَذَا مَنْهِيٌّ عَنْهُ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ وَهُوَ كَرَاهَةُ تَنْزِيهٍ
Ertinya: Ulama bersepakat berkenaan larangan sewaktu solat dengan lengan pakaiannya bergulung dan berlipat atau yang sepertinya, juga rambut kepalanya terikat atau diruapkan rambutnya yang dibawah serbannya atau sepertinya, semua ini dilarang dengan sepakat para ulama dan itu adalah makruh yang tanzih (tidaklah begitu berat).

Imam Zakariyya Al-Ansari menyatakan hikmah larangan ini adalah bagi memastikan seluruh item tadi iaitu rambut atau pakaian akan mengikut sujud, ia turut menjadi bukti solat individu terbabit. Selain itu, larangan ini juga kerana perbuatan terbabit adalah dari sifat orang takabbur yang biasanya tidak mahu baju dan rambutnya kotor terkena tanah, debu atau pasir sewaktu sujud atau rukuk.

Walaupun hari ini kemungkinan seseorang melakukan hal itu BUKAN kerana sifat membesar diri dan takabbur, namun mungkin kerana panas, peluh atau mencapai keselesaan, adalah terlebih baik untuk masih dielakkan berikutan terdapat nas yang jelas menegahnya jika tidak menghilangkan khusyu'. Tambahan pula, rasional dalam bab ibadah adalah sesuatu yang sukar dijustifikasi tanpa nas yang jelas, apa yang lebih penting adalah ketaatan dan kesungguhan untuk mengamalkan ibadah yang disaran oleh Nabi yang diulas secara tepat oleh para ulama. wallahu'alam

Imam Az-Zarkasyi & al-Hafiz al-Iraqi sebut hadis ini dituju khusus kepada rambut lelaki manakala wanita boleh mengikat rambutnya yang panjang walau semasa solat.

TERMASUK dalam erti larangan (iaitu makruh menurut majoriti ulama) itu adalah :-

1. Menyingsing lengan baju
2. Menyingsing hujung seluar (bagi mereka yang berpegang pada haram isbal, mereka sepatutnya pakai yang pendek dari awal dan bukan menyingsingnya). Adapun menurut kajian saya, isbal tidak jadi haram kerana panjangnya seluar dan jubah lelaki tetapi pada kesombongan pemakai yang memakai pankaian sedemikian di zaman tertentu adalah tanda kekayaan. Jadi jika sekarang ia sudah jadi adat & tidak membawa kesombongan, maka isbal adalah harus.
3. Lelaki mengikat rambut panjang seperti tocang dan sepertinya sewaktu solat.

[Sebahagiannya adalah petikan dari buku Formula Solat Sempurna (Edisi Kemaskini) karangan Dr Zaharuddin Abd Rahman terbitan Telaga Biru Sdn Bhd ]

Tiada ulasan: