Ahad, Februari 07, 2010

SALAM...

Masih segar dalam ingatan saya pada peristiwa di sepintar pada malam kultim yang dianjurkan oleh pihak badar tahun lalu apabila nama seorang pelajar tingkatan 3 dipilih untuk memberi tazkirah. Dengan malu dan segan saudara Muezuddin bingkas bangun dari tempat duduknya cuba mencari idea tazkirah yang ingin disampaikan. Lantas dengan bakat terpendam dan perasaan semangat kesumat yang dikurniakan oleh Allah, tazkirah yang bagitu menarik dapat disampaikan kepada semua rakan-rakan sepintar yang disahut dengan gelak tawa disebabkan gaya ‘cited’nya di depan semua pelajar. Tajuk yang diulasnya ialah kepentingan mengulama’kan professional dan memprofessionalkan ulama’.

Lantas terdetik pula ketika pengertian Manhaj Malizie didengungkan dalam bengkel seminar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) suatu ketika dahulu, dalam tempoh itu juga kedengaran seruan ke arah mengintelaktualkan ulama’ dan mengulama’kan intelektual.
Proses itu berjalan lancar, kekal dengan ramuan tradisi keilmuan yang ranum sehinggalah mewujudkan kalangan agamawan yang fasih dengan fahaman-fahaman Barat dan kelompok ilmuan universiti yang mampu menghadam kitab kitab yang selama ini ditekuni di pondok-pondok.

Namun kalimat ‘mengulama’kan artis dan mengartiskan ulama’’ yang muncul sejurus kemudiannya bukanlah suatu seruan agar agamawan itu terjun ke pentas dunia lakonan semuanya.

Mereka mungkin boleh menjadi pengarah, sutradara kepada sesebuah karya, menulis skrip filem dan drama, mengarang babak dan episod, menyusun adegan demi adegan.
Zaman-zaman mengkritik lakonan leleki merangkul wanita atas nama mereka itu suami isteri mungkinkah akan berakhir? Kritik ini sudah lama kedengaran. Alasan yang kerap didengar adalah, “sudah begitu kehendak pengarah…”

Novelis, sutradara Habiburrahman El-Shirazy, mesra dikenali sebagai Kang Abik turut mengeluh hal yang sama apabila karya beliau’ Ayat-ayat Cinta diangkat sebagai filem. Pernah beliau ditemu bual ketika beliau dijadualkan terbang ke Mesir untuk menjalani pembikinan filem Ketika Cinta Bertasbih.
“Ada banyak adegan yang dipotong dan ada pula yang ditokok tambah,”katanya ketika mengulas karyanya yang pertama itu.
“Tapi,” tambah beliau, “Harus juga bersyukur kerana ada juga sutradara yang mahu mengangkatnya sebagai sebuah filem.”
Berangkat daripada kekesalan itu, beliau bersama karyawan lain telah mengadakan program realiti tv untuk mencungkil bakat-bakat baru yang boleh menjiwai peranan dalam filemnya yang kedua itu. Akhirnya, beberapa pelakon baru yang mirip kepada watak-watak yang dilukiskan beliau dalam novel telah berjaya didapati .
Lantas proses pembikinan filem pun bermula dengan beliau sendiri mengarahkannya dan turut berlakon dalam karya beliau itu. Sama ada Kang Abik boleh diangkat sebagai model kepada seruan ‘mengulama’kan artis dan mengartiskan ulama’, hal itu boleh dibincangkan kemudian.
Sebagai termaklum, dakwah Wali Songo di Tanah Jawa barmula dengan seni persembahan wayang kulit. Di Tanah Melayu, ketika zaman Tok Kenali sedang berjuang dalam medan penulisan lewat majalah ‘Pengasuh’, seorang tokoh ulama’ yang tidak boleh kita lepas pandangan ialah Tok Solehong yang dikatakan gemar kepada bunyi-bunyian.
Pada zaman pergolakan Kaum Muda dan Kaum Tua itu, Tok Solehong turut ditegur kerana manjadikan bunyi-bunyian sebagai alat beliau berdamping dengan rakyat sambil berdakwah. Tok Kenali berdiam diri ke atas sikap sahabatnya apabila ada rungutan-rungutan orang ramai terhadap hal tersebut.
Mungkinkah antara kedua-dua tokoh ini sudah terjalin persefahaman lalu mereka berjuang mengikut kaedah masing-masing?
Namun dapat disimpulkan sikap berdiam diri Tok Kenali ke atas peribadi Tok Solehong itu membuktikan bahawa tidak menjadi masalah besar bagi seseorang ilmuwan agama untuk berdampingan dengan alat-alat hiburan. Apatah lagi, jika hal itu ada kaitan dengan maslahat membawa ajaran agama ke dalam jiwa masyarakatnya.
Apakah yang boleh diusahakan supaya pelajar-pelajar agama didedahkan dengan kursus penulisan skrip drama, filem, radio, didedahkan untuk menjadi penyampai radio, pengacara, didedahkan dengan bidang pengarahan secara sistematik dalam kurikulum pengajian di universiti?
Apabila semakin ramai dan bertambahnya pelajar aliran agama dalam bidang ini, barangkali pada suatu ketika nanti, akan lahir bermacam juga persoalan yang boleh dibangkitkan melalui karya-karya dan drama arahan mereka.
Kadangkala, rasa sakit jiwa juga apabila asyik menonton televisyen mutakhir ini. Kerap kita diganggu dengan pertanyaan dalam iklan peraduan karya berjudul ‘Milik Siapa Hati Ini’ yang memujuk khlayak menjawab soalan-soalan seperti “Milik siapakah HIDUNG ini?”, ”Milik siapakah TUDUNG ini?”, Milik siapakah MATA ini?”, dan ”Milik siapakah TELINGA ini?”…
Kalau kita boleh jawab tentu boleh dapat kereta, tiket percuma dan apa-apa sajalah. Jika kita tidak sakit jiwa dengan pertanyaan ini, mungkin kita boleh pengsan atau terus koma mendengarkan pertanyaan sebegini.
Demikianlah keadaannya apabila seruan ‘mengulama’kan artis dan mengartiskan ulama’’ tidak berjalan. Umat Islam menjadi terleka , tidak peka, dan rakyat pun kurang memeriksa keadaan.
Kalau intelektual dan agamawan reformis, yang bikin drama, filem, soalannya bukan begitu. Mungkin soalan peraduan berbunyi , “Berapa harga enjin pesawat F-5E?”, “Berapakah harga sebutir bom C4?”, “Berapakah kos pembelian kapal selam?”, “Bilakah tulisan Al-Quran mula dibariskan dan siapakah tokohnya?”, “Siapakah khalifah keenam kerajaan Bani Umaiyah?”, dan “Berapa komisen untuk langgan model Monggolia?” Hal ini secara tidak langsung melahirkan masyarakat islamik berdaya maju sama kompetitif dengan masyarakat Barat…Wallahua’la waa’lam…
Sumber: Harakah

Tiada ulasan: