Rabu, Januari 19, 2011

MATI TIBA-TIBA!! BERSEDIAKAH KITA??



Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Antara tanda-tanda kiamat adalah... berleluasanya mati secara tiba-tiba (mendadak)." (Riwayat al-Tabrani dalam al-Saghir)
Hadis ini disokong oleh beberapa data yang diperoleh dari kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat terhadap penyakit Sudden Cardiac Death (SCD) .Statistik tersebut menunjukkan bahawa:

-Lebih kurang 325,000 orang meninggal dunia setiap tahun di Amerika Syarikat

-SCD mencatatkan jumlah kematian yang lebih tinggi berbanding kanser paru-paru, kanser payudara dan AIDS

-Lebih kurang 40% meninggal sendirian tanpa kehadiran sesiapa yang dikenali atau tidak dikenali. Inilah yang menyebabkan meningkatnya risiko kematian kerana tidak sempat meminta pertolongan daripada sesiapa yang berada berdekatan ketika penyakit jantung datang menyerang.

-Jumlah kematian lelaki berbanding wanita ialah 3:1 . Ini bermakna lelaki mempunyai risiko mati secara tiba-tiba tiga kali ganda berbanding wanita.

Benarlah apa yang dinukilkan oleh hadis tersebut. Persoalannya adakah kita sudah bersedia andai ditakdirkan tergolong dalam golongan tersebut? Mati secara tiba-tiba tanpa sempat meminta bantuan daripada sesiapapun. Lebih teruk andainya kita mati tanpa membawa bekalan yang mencukupi dan bertaubat..

Oleh itu, hendaklah kita sentiasa ingat bahawa setiap detik yang berlalu membawa kita semakin hampir dengan sakaratul maut.


Selanjutnya, seseorang yang mengingati kematian itu ada tiga macam keadaannya iaitu:
  • Orang yang terperosok dalam keduniaan
  • Orang yang bertaubat
  • Orang yang menyedari terus-menerus
Adapun orang yang pertama yakni orang yang sudah telah terjerumus ke lembah keduniaan, lazimnya jarang sekali dia mengingati kematian itu. Kalaupun dia mengingatinya pada suatu saat, maka apa yang dia nampak adalah bagaimana jika dia sudah meninggal dunia , dan tentu hartanya tidak dibawa serta. Jadi dia akan bersedih hati untuk menemui kematian itu kerana memikirkan hartanya yang banyak pasti akan ditinggalkan. Orang seperti ini terus mencela kematian dan seolah-olah enggan menghadapinya. Oleh sebab itu jikalau dia ingat kepada kematian, tidaklah mendekatkan diri kepada Allah malah menjadikan dirinya lebih jauh.

Orang yang kedua ialah orang yang bertaubat . Dia memperbanyak ingatan akan kematian itu bertujuan agar dapat menimbulkan ketakutan dan ketakwaan dalam kalbunya. Dengan begitu dapatlah dia menyempurnakan taubat yang dilakukannya.

Orang yang ketiga yakni orang yang sedar dan mengetahui persoalan kematian itu, maka dia sentiasa ingat kematian dan akan tabah menghadapi kedatangannya. Sebabnya ialah kerana dia sedar saat kematian adalah saat yang amat bahagia baginya. Dia dapat bertemu dengan kekasihnya .Sesorang yang mencintai sesuatu pasti tidak akan terlalai sedikitpun masa pertemuannya dengan sesiapa yang dicintainya itu.. Kekasih satu-satunya bagi orang demikian ialah Allah s.w.t.

Adakah kita tergolong dalam orang yang ketiga ini? Yang sentiasa merindui saat pertemuan dengan Tuhan? Atau kita berasa gerun untuk menghadapi detik kematian? Fikirkan... Adakah kita telah bersiap sedia untuk bertemu Sang Kekasih ? Atau kita masih hanyut dalam kemanisan dan keindahan dunia yang fana? Lupa akan detik pertemuan dengan Pencipta...

Tiada ulasan: