Selasa, Disember 22, 2009

Rejim Zionis Simpan 300 Mayat Pejuang Palestin

Salam...saya terjumpa berita ini tatkala melayari laman web iluvislam.com


Israel tidak beri sebab tidak serah kepada keluarga sejak 1976

RAMALLAH: Israel menyimpan mayat kira-kira 300 pejuang Palestin yang terkorban dalam peperangan dengan askar rejim itu di kubur rahsia yang dikenali sebagai 'Perkuburan Bernombor,' kata Menteri Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin, Issa Qaraqi.

Ketika melawat keluarga Palestin di kawasan Perkampungan Arourah di Tebing Barat, di utara Ramallah kelmarin, Issa berkata, Israel mencabul undang-undang asas antarabangsa dengan menyekat hak keluarga rakyat Palestin daripada menuntut mayat berkenaan.

Katanya, Israel setakat ini menyerahkan mayat seorang rakyat Palestin dari Arourah yang dibunuh tenteranya pada 1976, selepas menyimpannya hampir 33 tahun atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan.

Media Israel berkata, Mahkamah Tinggi Israel memerintahkan baru-baru ini bahawa mayat Mashhour Al-Arouri diserahkan balik. Perintah itu dibuat selepas keluarga Palestin terbabit mengemukakan petisyen di mahkamah bagi menuntut mayat berkenaan.

Rayuan yang dikemukakan saudara mara Mashhour adalah sebahagian daripada kempen Palestin untuk membawa balik mayat pejuang Palestin yang dibunuh oleh askar Israel dalam operasi mereka.

Issa berkata, mayat Mashhour akan diserahkan selepas pemeriksaan DNA mengesahkan identitinya.

Mahkamah memerintahkan sekiranya mayat berkenaan tidak sesuai dikebumi di Palestin, keluarganya akan diberi kebenaran menziarahi kuburnya.

Rakyat Palestin, bagaimanapun, agak sangsi dengan perkara ini memandangkan kebenaran untuk memasuki Israel jarang diberikan kepada mereka
. Issa berkata: "Pengebumian secara paksaan mereka yang mati syahid itu adalah satu bentuk hukuman kepada keluarga mereka".

Beliau juga berkata, amalan menyimpan mayat berkenaan selama beberapa tahun menimbulkan syak bahawa Israel membunuh mereka selepas mereka ditahan atau organ dalaman mereka diambil.

Sumber Palestin berkata, Israel menyimpan mayat rakyat Palestin dan pejuang Arab itu di empat 'Perkuburan Bernombor.' - Agensi

Sumber :Berita Harian Online
14 Disember 2009


Berita BAru................

Israel akui curi organ mayat rakyat Palestin

Pakar forensik dedah kegiatan bermula pada awal 1990an

BAITULMAQDIS: Israel mengakui bahawa pakar forensiknya mengeluarkan organ dalaman daripada mayat pada 1990an, termasuk daripada mayat rakyat Palestin, tanpa kebenaran keluarga mereka.

Isu berkenaan timbul berikutan penerbitan satu temu ramah dengan Ketua Institut Forensik Abu Kabir Israel ketika itu, Dr Jehuda Hiss. Temu ramah berkenaan dilakukan pada 2000 oleh seorang ahli akademik Amerika, yang mendedahkannya apabila timbul kontroversi berhubung dakwaan sebuah akhbar Sweden bahawa Israel membunuh rakyat Palestin bagi mengambil organ dalaman mereka. Israel menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya.


Sebahagian daripada temu ramah itu disiarkan menerusi Saluran 2 televisyen Israel hujung minggu lalu. Hiss dipetik sebagai berkata “Kami mula mengambil kornea mata. Ia dilakukan dengan tidak rasmi. Tiada kebenaran diperoleh daripada keluarganya.”

Laporan Saluran 2 menyatakan pada 1990an, pakar forensik di Abu Kabir mengambil kulit, kornea, injab jantung dan tulang daripada mayat askar Israel, warga Israel, Palestin dan pekerja asing, selalunya tanpa kebenaran daripada saudara mara.

Dalam responsnya kepada laporan TV berkenaan, pihak tentera Israel mengesahkan bahawa amalan itu pernah berlaku. “Kegiatan ini tamat dekad lalu dan tidak berlaku lagi,” kata pihak tentera dalam kenyataan yang dipetik Saluran 2.

Dalam temu ramah itu, Hiss menceritakan bagaimana doktornya mengeluarkan kornea daripada mayat terbabit. “Kami melekatkan semula kelopak mata,” “Kami tidak mengambil kornea daripada keluarga yang kami tahu akan membuka mata mayat berkenaan.”

Kebanyakan maklumat daripada temu ramah itu mula menonjol pada 2004, apabila Hiss dipecat sebagai ketua institut forensik kerana penyalahgunaan organ di sana. Peguam Negara Israel menggugurkan tuduhan jenayah terhadapnya, dan Hiss masih bekerja sebagai ketua patologis di institut berkenaan.

Hiss menjadi pengarah institut berkenaan pada 1988. Dalam tembu bual itu, Hiss berkata amalan mengeluarkan organ tanpa kebenaran bermula pada awal 1990an.

Aduan terhadap institut berkenaan dikemukakan oleh saudara mara askar Israel dan orang awam serta rakyat Palestin.

Tokoh akademik berkenaan, Nancy Sheppard-Hughes, seorang profesor di Universiti California-Berkeley, berkata beliau memutuskan untuk mendedahkan temu ramah berkenaan berikutan kontroversi akhbar Aftinbladet, yang meningkatkan ketegangan diplomatik di antara Israel dan Sweden

Sementara itu Menteri Kesihatan Israel memberitahu stesen TV berkenaan “garis panduan pada masa itu tidak jelas. Selama 10 tahun lalu, Abu Kabir melakukan pekerjaan mengikut etika dan undang-undang Yahudi. - AP

Berita Harian

Tiada ulasan: